Hanya berlatih beberapa minggu, pelajar SMK Kudat menang Kejohanan Petanque Sabah
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Hanya berlatih beberapa minggu, pelajar SMK Kudat menang Kejohanan Petanque Sabah


Naziril (kanan) menerima hadiah wang tunai dalam Kejohanan Petanque Terbuka kategori pelajar.

17 Julai 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Anak kelahiran Kudat, Muhammad Naziril Bin Nasib, telah mendapat tempat pertama dalam Kejohanan Petanque Perseorangan Terbuka yang berlangsung di Arena Petanque Politeknik, di sini, semalam.


Kejohanan itu dianjurkan oleh Persatuan Petanque Negeri Sabah dan Jabatan Belia dan Sukan Persekutuan Negeri Sabah sempena Hari Belia Kebangsaan Negara 2022.


Naziril yang merupakan pelajar Tingkatan Enam SMK Kudat itu menewaskan atlet pelapis Sukan Malaysia (Sukma), Ainol Shahramadhan Bin Abu Bakar dari SMK Putatan, dengan skor 12-11 di peringkat akhir.


Menurut Naziril, dia tidak mengharapkan apa-apa dalam pertandingan itu memandangkan ini adalah kali pertama dia melibatkan diri dalam sukan petanque.


Naziril (tengah) serta dua lagi pelajar SMK Kudat semasa latihan petanque.

“Ini adalah kali pertama saya mengikuti pertandingan petanque. Saya baru sahaja menceburi sukan ini beberapa minggu sebelum pertandingan diadakan.


“Saya tidaklah begitu gementar kerana saya sudah biasa mengikuti pertandingan bola tampar namun saya tidak mengharapkan apa-apa.


“Walau bagaimanapun, rezeki berpihak pada saya dan saya gembira kerana dapat mencipta sejarah ini, terutama sekali dalam mewakili sekolah saya,” katanya.


Tambah pelajar yang membawa pulang RM300 hadiah wang tunai itu, dia berani mengambil peluang untuk menyertai kejohanan tersebut atas dorongan guru yang melatihnya, Cikgu Thin Lee Ling.


Selain Naziril, dua lagi orang pelajar SMK Kudat iaitu Mohammad Hanif Bin Ambotang dan Nasri Bin Archi juga telah menyertai pertandingan itu dan berjaya mara ke suku akhir.


Kejohanan ini disertai 54 orang dalam kategori pelajar, manakala terdapat 72 peserta dalam kategori dewasa.


Bagi kategori terbuka pelajar, naib johan dimenangi oleh Ainol manakala Nur Shaqina Sari Binti Basir dan Muhammad Aiman Danial Bin Mohd Ali (SMK Kolombong) mendapat tempat ketiga bersama.


Sementara itu, Mohd Fazrul Ismansyah Bin Mohd Faizal (Putatan) merangkul tempat pertama bagi kategori dewasa terbuka.


Tempat kedua pula dimenangi oleh Mohd Hafizuddin Edmund Abdullah (Kinarut) manakala wakil dari Putatan iaitu Mohd Faizalnoor Bin Zawaya dan Mohd Azley Bin Azlan mendapat tempat ketiga bersama.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page