Hari Bertemu Pelanggan: Ewon terima kunjungan 10 persatuan, dewan perniagaan dan koperasi
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Hari Bertemu Pelanggan: Ewon terima kunjungan 10 persatuan, dewan perniagaan dan koperasi



4 April 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick meluangkan masa sehari suntuk hari ini untuk menyantuni 10 persatuan keusahawanan, koperasi dan dewan perniagaan di pejabatnya, di sini, kelmarin.


Persatuan-persatuan itu ialah Malaysian Chinese Association, Persatuan Usahawan Maju Malaysia (PUMM), Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Kuala Lumpur dan Selangor (DPPIKLS), Koperasi Song Kapit Berhad, Persatuan Penggerak Digital Munnetra Malaysia (PPDMM), Koperasi Usahawan Inklusif Malaysia Berhad (KUIMB).



My Preneurship - Yayasan Usahawan Malaysia, Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia, Universiti Teknologi Mara - Akademi Pembangunan PKS & Keusahawanan Malaysia (MASMED) dan Persatuan Kimaragang Sabah di Semenanjung.



Kunjungan itu antaranya bertujuan membincangkan bagaimana dewan perniagaan atau persatuan boleh bekerjasama dengan kementerian untuk membantu komuniti perniagaan, mengetahui lebih lanjut program-program pembangunan keusahawan dan membincangkan pelbagai cabaran yang dihadapi oleh ahli-ahli persatuan.


Selain itu mereka turut mengemukakan cadangan-cadangan kepada kementerian bertujuan penambahbaik program sedia ada bagi membangunkan lagi sektor perusahaan kecil dan sederhana, koperasi, penjaja dan peniaga-peniaga kecil di seluruh negara.



Ewon berkata, SME Corp Malaysia satu daripada agensi kementeriannya telah membangunkan portal MyAssist MSME sebagai platform khidmat nasihat kepada usahawan-usahawan.


Selain itu katanya, kementerian itu juga telah menerbitkan Buku Program Keusahawanan Tahun 2023 sebagai panduan atau rujukan kepada para usahawan yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai program, pembiayaan, latihan atau kursus yang ditawarkan kesemua agensi dibawah kementerian itu.



“Saya sentiasa mengamalkan pintu terbuka, mendengar sendiri permasalahan dan cadangan-cadangan daripada pelbagai persatuan berkaitan pembangunan keusahawanan, koperasi, penjaja dan peniaga-peniaga kecil di negara ini.



“Semua cadangan dan pandangan yang telah dikemukakan oleh persatuan-persatuan, dewan perniagaan dan koperasi pada hari ini saya akan bangkitkan dalam mesyuarat pasca kabinet kementerian saya untuk dibincangkan bersama pengurusan tertinggi,” katanya.



bottom of page