Hari Malaysia: Perpaduan Asas Kestabilan, Kemajuan Negara
- nabalunews
- Sep 16
- 2 min read

16 September 2025
KOTA KINABALU: Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, mengingatkan bahawa perpaduan adalah asas yang membolehkan Malaysia kekal stabil dari segi politik dan terus maju sebagai sebuah negara.
Dalam perutusan sempena sambutan Hari Malaysia ke-62 hari ini, beliau berkata Malaysia terbentuk pada 16 Sept 1963 hasil semangat perpaduan, persefahaman dan visi bersama antara Malaya, Sabah dan Sarawak.
“Malaysia dikurniakan kepelbagaian kaum, budaya dan agama yang kaya. Kepelbagaian ini tidak seharusnya menjadi punca perpecahan, sebaliknya kekuatan yang menyatukan kita.
“Pada Hari Malaysia ini, marilah kita memperbaharui komitmen kepada solidariti, keadilan dan kemakmuran. Bersama-sama, dengan saling menghormati dan tujuan yang dikongsi bersama, kita akan terus membina sebuah Malaysia yang aman, progresif dan tidak mudah goyah,” katanya.
Tun Musa berkata, Sabah dan Sarawak memainkan peranan penting dalam pembentukan serta pembangunan negara termasuk menyumbang secara siginifikan kepada kestabilan politik, pertumbuhan sosioekonomi serta kepelbagaian budaya Malaysia.
Namun katanya, masih banyak usaha perlu dilakukan untuk mengurangkan jurang ekonomi khususnya di Sabah, agar pembangunan dan peluang dapat dinikmati rakyat secara menyeluruh.
“Sabah yang lebih kuat akan menjadikan Malaysia lebih kukuh,” katanya sambil menegaskan tiada ruang untuk fanatik perkauman atau agama di negara ini sekiranya rakyat mahu maju bersama sebagai satu bangsa.
Menurutnya, Sabah adalah contoh teladan kepada keharmonian masyarakat berbilang etnik dan agama, justeru tradisi saling menghormati perlu terus dipelihara serta diperkukuhkan demi generasi akan datang.
Tun Musa turut menyeru para pemimpin supaya tidak mengejar keuntungan politik dengan menimbulkan perpecahan, sebaliknya memberi tumpuan kepada penyelesaian praktikal seta pembuatan dasar yang memperkasa rakyat dan memacu kemajuan negara.
Dalam pada itu, TYT dan Toh Puan turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa banjir serta tanah runtuh di Sabah akibat hujan berterusan yang meragut nyawa dan merosakkan kediaman, perniagaan serta infrastruktur.
“Marilah kita bersama-sama menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan, agar proses pemulihan dan pembinaan semula dapat dilaksanakan melalui semangat ketabahan dan perpaduan kita. Inilah semangat gotong royong yang telah menjadi amalan kita sejak dari dahulu lagi,” katanya.
Tamat


















Comments