• nabalunews

HASRAT PN SEKAT PERKEMBANGAN AGAMA BUKAN ISLAM LANGGAR MA63


Terrence Siambun

18 Mac 2021


KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (WARISAN) menyatakan kebimbangan terhadap tindakan Kerajaan Perikatan Nasional yang bercadang untuk meminda rang undang-undang bagi menyekat perkembangan agama bukan Islam di negara ini. Bendahari Agung WARISAN, Terrence Siambun berkata, sekatan tersebut merupakan pelanggaran terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang melindungi hak rakyat Sabah untuk beragama. “Muhyiddin telah gagal mendapat persetujuan daripada 14 negeri dan Majlis Raja-Raja Melayu untuk melaksanakan RUU355 maka satu-satunya cara ialah memaksa perkara itu dibentang sebagai RUU kerajaan. “Kawalan dan sekatan terhadap penyebaran agama bukan Islam adalah isu besar di Sabah atas dua perkara. “Pertama sekali, jika pejuang kemerdekaan kita terdahulu dan kerajaan British tahu bahawa sekatan seumpama ini akan diperkenalkan, maka Persekutuan Malaysia tidak akan terbentuk. “Agama merupakan perkara pertama yang diletakkan dalam Perjanjian 20 Perkara, malah Perdana Menteri pertama Malaysia pernah berkata Malaysia adalah negara sekular bukannya negara Islam. “Kedua, apa yang dilakukan oleh Maximus Ongkili selaku Menteri Kabinet Sabah dan Sarawak? Tahukah dia bahawa pembentangan seperti itu perlu dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet terlebih dahulu sebelum diumumkan oleh Timbalan Menteri? “Adakah beliau telah menjelaskan Perdana Menteri kemungkinan tentangan daripada Sabahan dan Sarawakian terhadap isu berkenaan?,” kata Terrence dalam satu kenyataan. Terrence menegaskan bahawa isu tersebut bukanlah membabitkan agama tetapi pelanggaran secara terang-terangan terhadap MA63 oleh PN untuk tujuan politik, justeru menyeru rakyat Sabah untuk bangkit menentang tindakan berkenaan. “Saya percaya pembentangan tersebut merupakan usaha saat-saat akhir PN untuk kekal berkuasa dan memenangi undi Melayu di Semenanjung dan selepas itu pilihan raya umum akan diadakan. “Kita tidak memerlukan RUU yang memecah-belahkan kaum seperti itu kerana ekonomi negara semakin tenat dan kita amat terdesak memerlukan pemimpin yang dapat memulihkan ekonomi serta menyediakan pekerjaan agar kita semua dapat kembali bekerja. “Maka saya menyeru semua Sabahan untuk berpadu, sentiasa berjaga-jaga dan ingat tentang keutamaan PN yang sudah terpesong ini apabila tiba masa mengundi,” katanya. - Sabah Today