• Farah Salim

Henti intimidasi kepada penganjur demonstrasi #TangkapAzamBaki: Anwar


Kenyataan media Ketua Pembangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui akaun Facebooknya.

24 Jan 2022

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi gesaan kepada Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara supaya menghentikan gangguan dan siasatan kepada penganjur demonstrasi secara aman (#TangkapAzamBaki) tempoh hari.


Beliau berkata, langkah itu memberikan tekanan kepada mereka (penganjur) dalam menyikapi gejala rasuah di negara ini.


“Justeru itu, segala siasatan dan intimidasi terhadap mereka mesti segera dihentikan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Anwar berkata, menyatakan bantahan dan menganjurkan demonstrasi secara aman adalah hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.


Pada Sabtu lalu, tanda pagar #TangkapAzamBaki trending di Twitter setelah perhimpunan aman mendesak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Tan Sri Azam Baki meletak jawatan.


Dalam kenyataan media pada Sabtu, polis akan melakukan siasatan lanjut berhubung himpunan #TangkapAzamBaki yang diadakan di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar, Jalan Bangsar.