• Ilona Andrew

Henti peralat agensi kerajaan sebagai senjata politik - Pakatan Harapan


(dari kiri) Guan Eng, Anwar dan Mohammad Sabu.

24 Julai 2021

Oleh Ilona Andrew


KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan sekali lagi menegaskan bahawa agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak boleh diguna sebagai senjata politik untuk menekan mengugut Ahli Parlimen demi pengekalan kedudukan dan jawatan.


Menerusi kenyataan bersama, pendakwaan yang dibuat terhadap Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman baru-baru ini menimbulkan pelbagai persepsi tidak baik buat agensi kerajaan, khususnya SPRM.


Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan yang merangkumi Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara Mohammad Sabu dan Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik Lim Guan Eng, hari ini.


Mereka berkata, pendakwaan itu mencurigakan lebih-lebih lagi dibuat hanya beberapa hari sebelum mulanya sidang khas Parlimen pada 26 Julai ini.


"Ini susulan pendakwaan terpilih ke atas Guan Eng pada tahun lepas ekoran siasatan terburu-buru yang dijalankan oleh SPRM sebaik kerajaan Pakatan Harapan jatuh pada akhir Februari 2020.


"Kami juga sangat terkejut dengan pendedahan dalam mahkamah oleh peguam bahawa arahan kebenaran mendakwa ke atas Syed Saddiq telah diberi seawal Ogos 2020, namun ia tidak dilakukan sehingga Khamis lalu.


"Tambahan pula pendedahan Syed Saddiq bahawa kes-kes ini telah dibawa ke mahkamah kerana beliau enggan menyokong Perikatan Nasional," jelas mereka.


Majlis Presiden itu menyatakan sokongan terhadap Syed Saddiq sekaligus mengecam taktik menindas yang bermotif politik itu.


Mereka berkata, usaha politik jahat menyalahguna agensi demi kaerakusan kuasa juga bakal digunakan ke atas Ahli Parlimen pembangkang yang lain.


"Rakyat Malaysia sebelum ini telah lihat bagaimana Datuk Dr Xavier Jayakumar juga telah ditekan menggunakan SPRM sehingga beliau akhirnya menyerah kalah, khianat dan lompat menyokong Perikatan Nasional. Sehingga kini, masih tiada tindakan oleh pihak SPRM terhadap beliau.


"Umum juga sedar terdapat kes-kes SPRM termasuk terhadap YB Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang telah ditahan pada 27 Mei lalu namun hingga kini tiada pendakwaan terhadap beliau. Apakah mungkin kerana beliau juga telah menyokong Perikatan Nasional?"


Pada Khamis lalu, Syed Saddiq yang merupakan bekas Ketua Armada Parti Bersatu telah didakwa atas pertuduhan pecah amanah dana berjumlah RM1 juta dan menyalahgunakan wang sumbangan RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum pada tahun 2018.


Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu.