'Hilang elaun kalau ponteng Parlimen'
7 Ogos 2024
GEORGETOWN: Ahli Parlimen yang tidak menghadiri sidang Dewan Rakyat dalam tempoh tertentu berisiko kehilangan elaun apabila Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA) berkuat kuasa.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, berkata Rang Undang-Undang PSA mungkin dibentang pada penghujung Mesyuarat Ketiga, sidang Dewan Rakyat akan datang.
"Kehadiran ada dalam undang-undang, sesiapa yang tidak hadir selama enam bulan boleh hilang kerusi dan setakat ini tiada rekod Ahli Parlimen 'hilang'.
"Namun begitu, saya memberi amaran Ahli Parlimen dipilih rakyat mesti hadir ke Dewan Rakyat, malah saya ada cadangan jika tidak datang dalam tempoh tertentu akan hilang elaun.
"Cuma kita sedang tunggu RUU PSA diluluskan pada peringkat Kabinet," katanya kepada pemberita selepas melawat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, semalam.
Johari mengakui tidak semua Ahli Parlimen mempunyai masa untuk sentiasa berada di Parlimen.
Katanya, ada antara mereka adalah anggota Kabinet selain mempunyai tugas-tugas rasmi lain.
"Tapi dia (Ahli Parlimen) bukan hari-hari tak boleh datang, anda kena tahu jadual, bila ada persidangan dan padankan dengan mesyuarat yang perlu dihadiri.
"Menghadiri sidang Parlimen adalah kemestian kecuali berlaku hal-hal yang tidak dapat dielakkan," tegasnya.
Pada Mac lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Pindaan Perlembagaan bagi mengembalikan semula PSA sudah 90 peratus siap dan menunggu masa untuk dibentangkan di Dewan Rakyat.
Azlina berkata, PSA antaranya akan memberi kuasa autonomi kepada pentadbiran dan kewangan Parlimen.
Dalam perkembangan lain, Johari mendedahkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah mengganggu tugasnya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Sejak memegang jawatan itu, katanya, banyak reformasi dibawa dalam Parlimen demi kebaikan semua.
"Tidak pernah berlaku sebelum ini, laporan-laporan disediakan SUHAKAM (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia) sebagai contoh, dibentang dan dibahas di Parlimen.
"Bermula tahun lalu, kita benarkan laporan SUHAKAM dibahas dalam Parlimen, dahulu kalau SUHAKAM buat laporan, kadang-kadang tiada sesiapa ambil serius," katanya.
Comments