• nabalunews

HOSPITAL SWASTA BERSEDIA PEROLEH VAKSIN BANTU PERCEPAT IMUNITI KELOMPOK


Gambar hiasan

2 Mac 2021


KUALA LUMPUR: Hospital swasta bersedia memperoleh vaksin daripada sumber lain sebaik kelulusan diberikan oleh Badan Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi membantu kerajaan mencapai imunisasi kelompok lebih cepat.


Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) Datuk Dr Kuljit Singh berkata sektor itu berpendapat kerajaan perlu dibantu memandangkan tempoh pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dijangka hanya tamat pada Februari tahun depan terlalu panjang dan tidak boleh diterima.



Katanya hospital swasta boleh digerakkan untuk melengkapi usaha kerajaan dalam memastikan majoriti penduduk dapat divaksinasikan dalam tempoh yang singkat ke arah mencapai imuniti kelompok.


“Ini termasuk memanfaatkan sistem kesan dan jejak yang diiktiraf kerajaan bagi membangunkan pangkalan data mengenai pemberian vaksinasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Dr Kuljit Singh berkata cadangan itu telah dikemukakan kepada Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.


Katanya kerajaan juga dapat menjimatkan kos kerana jumlah penerima vaksin yang kosnya perlu ditanggung oleh kerajaan turut berkurangan apabila hospital swasta turut terlibat.


Beliau juga berpandangan ada keperluan untuk kerajaan mewujudkan satu infrastruktur dalam negara yang dapat memastikan bekalan vaksin tertentu tersedia di negara ini bagi memenuhi syarat yang mungkin ditetapkan oleh negara lain dalam membenarkan kemasukan pelawat, berikutan setiap negara meluluskan vaksin yang berbeza.



“Sebagai contoh, kemungkinan musim umrah/haji akan bersambung semula dan Arab Saudi mungkin mengiktiraf vaksin tertentu sahaja dalam permohonan visa,” katanya.


Dr Kuljit turut menyuarakan kebimbangan tentang ekspatriat dan komuniti diplomatik menghadapi masalah untuk mengembara ke luar dalam masa terdekat kerana program imunisasi yang dilaksanakan kerajaan meletakkan mereka dalam fasa tiga.


“Vaksinasi oleh hospital swasta boleh membantu menangani isu ini,” katanya yang berharap kerajaan tidak akan menolak hasrat sektor itu untuk membantu dalam program vaksinasi tersebut.


“Motif kami bukan untuk meraih keuntungan tetapi membantu kerajaan selaku rakan kongsi. Masyarakat umum mahukan usaha ini diselesaikan secepat mungkin.


“Adanya vaksin pelbagai jenis di hospital swasta juga dapat menangani isu pihak-pihak tertentu cuba melangkau giliran dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan perbuatan mereka itu meminggirkan mereka yang lebih memerlukan,” katanya. - Bernama