top of page

Hubungan Malaysia-Brunei pada tahap terbaik

nabalunews

18 Ogos 2024


PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Brunei berada pada tahap terbaik ketika ini.


Perdana Menteri berkata, lawatan rasmi Putera Mahkota Brunei Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah ke Malaysia adalah isyarat penting kepada negara bahawa seluruh pimpinan Brunei tekad meningkatkan kerjasama dua hala.


"Kehadiran Putera Mahkota Brunei menunjukkan seluruh kekuatan dan kepimpinan Brunei bersama dan tekad meningkatkan kerjasama," katanya seperti dilaporkan Bernama.


Anwar berkata demikian kepada media selepas menjadi hos majlis makan tengah hari sempena kunjungan hormat Putera Mahkota Brunei di sini, hari ini.


Antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan itu termasuk memperkukuh hubungan dua hala antaranya bidang pertahanan, latihan, industri, teknologi, agama Islam, kebudayaan dan bahasa Melayu yang akan memberi manfaat serta peluang kepada rakyat di kedua-dua negara.


Anwar berkata, beliau dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah sebelum ini telah mengadakan mesyuarat dua hala bagi membincangkan kemajuan kerjasama antara Malaysia dan Brunei.


Pada 20 Julai lalu, Sultan Hassanal Bolkiah bersama Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan berangkat ke Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara.


Terdahulu, Anwar menerima kunjungan hormat Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah yang juga Menteri Kanan di Pejabat Perdana Menteri, di Kompleks Seri Perdana pada jam 11.25 pagi tadi.


Ketibaan baginda bersama isteri, Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, turut disambut isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.


Baginda dalam lawatan rasmi lima hari ke Malaysia bermula 17 Ogos hingga 21 Ogos ini.


Brunei adalah rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota ASEAN pada 2023, dengan jumlah dagangan sebanyak AS$2.04 bilion (RM9.31 bilion).

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page