- Wartawan Nabalu News
Ibu bapa, penjaga tidak perlu isi borang BAP RM150, bayaran disalur ikut rekod sekolah
20 Oktober 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
PUTRAJAYA: Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, ibu bapa dan penjaga yang ingin mendapatkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) RM150 tidak perlu mengisi borang permohonan kerana bayaran itu akan disalurkan mengikut rekod yang ada di sekolah anak masing-masing.
Beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan kerajaan memperuntukkan sebanyak RM788.13 juta menerusi Belanjawan 2024 yang dibentangkan pada Jumaat lepas, khusus untuk tujuan BAP.
"(BAP) untuk semua pelajar. Kami mengekalkannya seperti tahun lepas. Dia (nama pelajar) memang ada di sekolah, rekod itu sudah ada, mereka (ibu bapa dan penjaga) hanya perlu pergi ke sekolah dan ambil macam biasa. Itu proses macam biasa, macam tahun-tahun sebelum ini," katanya selepas Majlis Penutup Persidangan Antarabangsa Kaunselor Pendidikan, lapor Bernama.
Jelas beliau lagi, BAP akan memberi manfaat kepada lebih 5.25 juta murid dan diagihkan kepada murid secara tunai atau kredit ke akaun masing-masing.
Fadhlina juga berkata Kementerian Pendidikan (KPM) komited untuk mencapai sasaran nisbah seorang guru kaunseling bagi 250 murid sekolah rendah dan menengah bagi memastikan saranan dan intervensi yang diperlukan klien berjalan dengan efisien dan efektif.
Tanpa menyatakan berapa nisbah terkini dan bila sasaran itu akan dapat dicapai, beliau berkata KPM bekerja keras untuk memastikan sasaran itu dapat dijayakan.
Beliau juga menekankan bahawa pendekatan kaunseling khusus kepada Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) perlu diberikan tumpuan.
"Dalam memberikan perkhidmatan kepada MBPK, guru bimbingan dan kaunseling perlu memahami aspek silang budaya, iaitu dalam konteks ini adalah budaya MBPK yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU). Justeru, guru bimbingan dan kaunseling perlu lebih kreatif dan membuat inovasi supaya proses bimbingan dan kaunseling yang khusus dan lebih sesuai dapat dijana dan dilaksanakan terhadap klien MBPK," katanya.
Comentarios