Indeks harga besi naik hingga 1.1 peratus pada Mac
- nabalunews
- Apr 9
- 2 min read

9 April 2026
PUTRAJAYA: Indeks harga seunit besi mencatatkan peningkatan antara 0.2 peratus hingga 1.1 peratus pada Mac 2026 berbanding bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan tertinggi bagi bahan itu telah direkodkan di Terengganu dan Kelantan sebanyak 1.1 peratus dan diikuti dengan Kota Kinabalu dan Tawau dengan masing-masing 1.0 peratus.
“Selain itu, indeks harga seunit simen juga mencatatkan peningkatan pada Mac, dengan perubahan bulan ke bulan antara 0.1 peratus hingga 1.0 peratus di semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
“Peningkatan tertinggi bagi bahan ini direkodkan di Miri sebanyak 1.0 peratus, diikuti Kuching dan Sibu (masing-masing 0.5 peratus),” katanya dalam satu kenyataan mengenai Indeks Kos Bahan Binaan (IKB) bagi Mac 2026 yang dikeluarkan hari ini.
Beliau berkata, indeks harga seunit keratan keluli dan logam turut menunjukkan peningkatan antara 0.1 peratus hingga 1.0 peratus berbanding bulan sebelumnya, manakala indeks harga pasir meningkat antara 0.3 peratus hingga 5.2 peratus di semua kawasan.
Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata purata harga besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 high tensile deformed bars meningkat 0.7 peratus kepada RM3,426.80 per tan metrik berbanding RM3,404.40 pada Februari 2026.
Jelasnya, purata harga simen jenis Ordinary Portland turut meningkat 0.8 peratus kepada RM25.55 bagi setiap 50 kilogram berbanding RM25.35 pada bulan sebelumnya.
“Dari segi perbandingan bulanan IKB mengikut kategori bangunan di Semenanjung Malaysia, peningkatan antara 0.1 peratus hingga 0.7 peratus direkodkan di beberapa kawasan termasuk Pulau Pinang, Kedah dan Perlis serta Terengganu dan Kelantan.
“Namun, penurunan kecil IKB termasuk bar keluli bagi beberapa kategori bangunan antara negatif 0.1 peratus hingga negatif 1.1 peratus telah direkodkan di Perak, Johor dan Pahang,” katanya.
Di Sabah, menurut beliau, indeks tersebut mencatatkan peningkatan kecil antara 0.1 peratus hingga 0.6 peratus bagi hampir semua kategori bangunan pada Mac 2026 berbanding bulan sebelumnya.
Sementara itu, Sarawak merekodkan penurunan antara negatif 0.1 peratus hingga negatif 0.3 peratus bagi semua kategori bangunan di Kuching kecuali bangunan kayu, cerucuk kayu dan cerucuk, manakala IKB di Sibu dan Miri mencatatkan peningkatan antara 0.1 peratus hingga 0.5 peratus.















Comments