Individu boleh didenda RM5,000 jika tidak laporkan penderaan seksual kanak-kanak
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Individu boleh didenda RM5,000 jika tidak laporkan penderaan seksual kanak-kanak


24 Oktober 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PUTRAJAYA: Mana-mana individu yang tahu adanya penderaan seksual terhadap kanak-kanak tetapi tidak melaporkan kepada pihak berkuasa boleh didenda sehingga RM5,000 di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 1972).


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kerajaan akan menguatkuasakan akta itu secara agresif dan tegas termasuk mendakwa orang terdekat seperti cikgu atau jiran yang tahu ada kejadian sedemikian menerusi Seksyen 19 akta berkenaan.


"Saya nak buat secara agresif sebab kalau jiran, ahli keluarga dan guru ambil sikap tidak mahu masuk campur ini akan membebankan kanak-kanak yang jadi mangsa kerana tidak ada orang nak melaporkan," katanya dalam sidang media selepas melancarkan sistem eKlinik 6G di sini hari ini.


Menurut akta itu, mana-mana orang yang tidak memberikan maklumat mengenai perlakuan atau niat mana-mana orang lain untuk melakukan kesalahan tersebut, jika mangsa ialah seorang kanak-kanak, kepada pegawai di balai polis berdekatan, boleh disabitkan kesalahan dan didenda maksimum RM5,000.


Azalina berkata beliau akan bertemu dengan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Polis Diraja Malaysia dan pihak mahkamah berhubung penguatkuasaan sepenuhnya akta itu, serta Pesuruhjaya Kanak-Kanak bagi membincangkan usaha mewujudkan kesedaran dalam komuniti.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page