Industri kenaf diperkukuh sebagai komoditi baharu berdaya saing
- nabalunews
- Oct 6
- 2 min read

6 Oktober 2025
KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) terus memperkukuh usaha membangunkan industri kenaf sebagai antara komoditi baharu negara yang berdaya saing dan mampu memberi pulangan ekonomi kepada penduduk luar bandar.
Timbalan Menterinya Datuk Chan Foong Hin berkata, KPK melalui Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) melaksanakan pelbagai langkah pembangunan strategik termasuk meningkatkan kawasan tanaman dan mempelbagaikan produk hiliran berasaskan kenaf.
Katanya, setakat 31 Ogos 2025, sebanyak 1174.3 hektar tanaman kenaf telah diusahakan di seluruh negara melibatkan 555 pekebun kecil dan empat usahawan.
“Daripada jumlah tersebut, 721 hektar adalah bagi pengeluaran fiber, manakala 453 hektar bagi pengeluaran makanan ternakan
“Prestasi pasaran juga menunjukkan perkembangan positif apabila nilai jualan produk berasaskan kenaf meningkat kepada RM23.81 juta hingga Ogos 2025, berbanding RM14.81 juta tahun lalu,” katanya pada Pertanyaan-Pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Bakri Jamaluddin (PN – Tangga Batu) berhubung status semasa industri kenaf di Malaysia pasaran serta langkah strategik kementerian bagi memastikan kenaf menjadi komoditi berdaya saing dan memberi pulangan ekonomi kepada penduduk luar bandar.
Foong Hin berkata, untuk tahun ini, LKTN menyasarkan 2,500 hektar keluasan tanaman kenaf melibatkan 846 pekebun kecil, dengan 1,200 hektar untuk pengeluaran fiber membabitkan 558 pekebun kecil, manakala 300 hektar bagi pengeluaran biji benih melibatkan 88 pekebun kecil.
Selain itu, katanya terdapat 1,000 hektar tanaman kenaf yang diusahakan oleh 200 pekebun kecil bagi tujuan pengeluaran makanan ternakan.
Beliau berkata, LKTN turut memperluas pembangunan industri kenaf ke Sabah dan Sarawak yang kini digerakkan dengan kerjasama sektor swasta.
“Komponen program ini meliputi penyediaan fasiliti penyimpanan dan pembekalan benih selain membangunkan kemudahan pegeluaran dan pemprosesan kenaf.
“LKTN dan Lembaga Kemajuan Negeri Sabah (SLDB) juga menjalin kerjasama bagi membangunkan kawasan tanaman kenaf berasaskan makanan ternakan di Sook, Keningau dengan sasaran keluasan 100 hektar,” ujarnya.
Menurut Foong Hin, LKTN memberi tumpuan kepada lima sektor utama produk hiliran kenaf iaitu bahan binaan, tekstil teknikal, produk biodegradasi, produk biokomposit dan makanan ternakan.
Dalam masa sama, katanya, usaha mempromosi produk kenaf kepada pasaran tempatan turut dipergiat menerusi platform jualan atas talian seperti Kenaf Mall dan Shopee, selain kaedah jualan terus.


















Comments