- Wartawan Nabalu News
Infineon tambah pelaburan 5 bilion Euro, Anwar sambut baik
4 Ogos 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan pengumuman pelaburan tambahan sehingga 5 bilion Euro oleh Infineon Technologies AG (Infineon) yang akan membina loji fabrikasi kuasa silikon karbida (SiC) 200-milimeter (mm) terbesar di dunia di Kulim, Kedah.
Beliau berkata, pelaburan itu selaras dengan gagasan Ekonomi Madani yang mensasarkan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia dan berada di kedudukan antara 30 ekonomi terbesar di dunia.
"Keyakinan syarikat itu mencerminkan kedudukan Malaysia yang penting dalam rantaian bekalan semikonduktor global. Saya mengalu-alukan pengumuman pelaburan daripada Infineon yang telah membuktikan kepercayaan mereka terhadap Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambah Anwar, pengumuman itu adalah lanjutan daripada perbincangan beliau dengan pihak syarikat Dr Rutger Wijburg, Ketua Pegawai Operasi (Infineon) pada 24 Julai 2023.
"Ia menjadi pelengkap kepada Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu iaitu untuk menarik pelaburan berteknologi tinggi dan bernilai tinggi bagi menyokong ekonomi global dan domestik," ujarnya.
Comments