Inisiatif Sejahtera Madani noktahkan miskin tegar
- nabalunews
- 2 days ago
- 2 min read

24 Julai 2025
PUTRAJAYA: Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia MADANI (Sejahtera MADANI) yang dilancarkan hari ini adalah usaha terbaru kerajaan dalam menoktahkan kemiskinan tegar di negara ini.
Inisiatif yang berpaksikan ‘whole of nation approach’ atau pendekatan seluruh negara dilaksanakan hasil kerjasama kerajaan dan syarikat swasta dengan dana terkumpul sebanyak RM120 juta setakat ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jumlah itu jauh melepasi sasaran awal RM50 juta, sekali gus membuktikan keyakinan tinggi sektor swasta terhadap usaha kerajaan membantu kumpulan rentan melalui program berfokus.
“Sokongan kuat sektor swasta membuktikan semangat kerjasama nasional yang kukuh, dengan banyak syarikat tampil bukan sekadar menyumbang dana, malah turut mengambil tanggungjawab sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia Madani (Sejahtera Madani) 2025, di sini, hari ini yang turut disiarkan secara langsung di stesen televisyen tempatan.
Perdana Menteri berkata, dalam memacu Malaysia menjadi sebuah negara gagah dan hebat ia bermula dengan kepimpinan yang bertanggungjawab, mengelak ketirisan dan rasuah.
Katanya, ia tidak akan berhasil tanpa kekuatan sektor swasta yang menembusi pasaran antarabangsa seperti Mesir, Itali, Perancis, Peru, Brazil dan lain-lain negara.
"Ini kekuatan sektor swasta manakala tanggungjawab kami adalah memberi galakan, dorongan dan sokongan sedaya upaya, manakala hasil pelaburan dan perdagangan itu, kerajaan memulangkan semula sebahagiannya kepada rakyat supaya mereka turut mengecapi nikmat,” katanya.
Beliau turut mengulangi pendirian Kerajaan MADANI pimpinannya untuk menoktahkan kemiskinan di negara ini menerusi pelbagai usaha bersama serta pendekatan yang lebih strategik.
“Ada golongan yang dipanggil kumpulan rentan yang miskin yang patut ditangani. Sasaran saya dan rakan-rakan Jemaah Menteri kalau boleh menoktahkan kemiskinan tegar itu hasrat kami.
“Berdasarkan angka-angka tahun 2023 dan 2024, kita dapat atasi walaupun jumlah itu akan kemudian muncul, tetapi ia jauh lebih rendah berbanding dulu,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, dengan komitmen kerajaan, swasta, majlis agama dan lain-lain dilihat mampu menyelesaikan isu kemiskinan tegar dengan mudah.
Program Sejahtera MADANI yang diselaras oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), menyatukan pelbagai bentuk intervensi merentas kementerian, agensi dan sektor korporat.
Ia diperkukuhkan dengan elemen tambahan yang memfokuskan program atau bantuan lebih berimpak dan berkelestarian tinggi kepada Ketua Isi Rumah (KIR) dan Ahli Isi Rumah (AIR) eKasih melalui empat fokus inisiatif iaitu peningkatan pendapatan, pendidikan, perumahan dan Kebajikan.
Comments