Isu banjir di Beaufort perlu penyelesaian komprehensif, jangka panjang
- nabalunews
- Feb 28
- 1 min read

28 Februari 2026
KUALA LUMPUR: Kejadian banjir berulang di Beaufort, Sabah membuktikan isu berkenaan bukan lagi bersifat bermusim, sebaliknya bersifat struktur yang memerlukan penyelesaian jangka panjang dan menyeluruh.
Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching berkata, keperluan untuk merancang serta melaksanakan sistem ketahanan banjir secara komprehensif di kawasan itu bukan lagi satu pilihan, tetapi keutamaan yang amat mendesak.
Menurutnya, kerajaan perlu memberi fokus kepada pelaksanaan projek tebatan banjir yang menyeluruh, penaiktarafan sistem saliran serta pembinaan infrastruktur kawalan air yang benar-benar berdaya tahan terhadap perubahan iklim.
“Kelmarin saya dimaklumkan bahawa Beaufort sekali lagi dilanda banjir besar sehingga menjejaskan kediaman, sekolah, jalan perhubungan dan sumber pendapatan rakyat.
“Kejadian berulang ini jelas menunjukkan bahawa isu banjir di Beaufort bukan lagi bermusim, tetapi bersifat struktur dan menuntut penyelesaian jangka panjang,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat pada Khamis.
Siti Aminah menegaskan rakyat Beaufort tidak seharusnya terus dibebani kerugian serta penderitaan saban tahun akibat bencana banjir tanpa penyelesaian tuntas.
Sehubungan itu, beliau menggesa tindakan komprehensif dilaksanakan segera demi kebajikan dan maruah penduduk kawasan berkenaan.
“Kita di Dewan yang mulia ini membahaskan peruntukan berbilion ringgit dengan penuh yakin. Namun di Beaufort, hampir setiap bulan rakyat terpaksa beratur memohon bantuan bencana, seolah-olah bergantung kepada simpati untuk meneruskan kehidupan selepas air surut.
“Jika kitaran ini terus berulang, sampai bila rakyat Beaufort harus hidup dalam keadaan reaktif, menunggu bantuan selepas musibah? Di manakah maruah kami sebagai warganegara yang berhak kepada perlindungan, perancangan dan pembangunan yang bermaruah.
“Saya berharap tindakan segera dan tuntas dilaksanakan demi kebajikan serta maruah rakyat Beaufort,” katanya.















Comments