• Farah Salim

Isu Tol: Kerajaan teruskan dasar PH, pengguna patut diberi diskaun


5 April 2022

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Ismail Sabri Yaakob bahawa empat lebuh raya tidak dinaikkan kadar tol sehingga tamat tempoh konsesi.


Lebuh raya itu ialah Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lebuhraya Damasara-Puchong (LDP).


Menurut kenyataan Majlis Presiden PH, keempat-empat lebuhraya itu dilaporkan akan diambil alih oleh sebuah entiti iaitu Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR) pada nilai RM5.48 bilion.


“Hasil ini merupakan kesinambungan kepada usaha yang dimulakan Kerajaan Pakatan Harapan pada Oktober 2019 di mana Majlis Jemaah Menteri ketika itu telah memutuskan secara dasar untuk memulakan proses mengambil alih lebuhraya-lebuhraya tersebut.


“Maka apa yang diumumkan ini adalah dasar Pakatan Harapan yang diteruskan hingga ke penghujungnya.


“Ini membuktikan bahawa jika Pakatan Harapan terus mentadbir lebih dari 22 bulan dan Langkah Sheraton tidak berlaku, pelbagai dasar yang membantu meringankan beban rakyat dapat dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurut kenyataan itu lagi, Kerajaan Pakatan Harapan telah memulakan usaha menamatkan konsesi lebuhraya dengan mengurangkan kadar tol Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) sebanyak 18% pada 2020.


“Malah Pakatan Harapan telah merancang untuk memberi diskaun 30% dan tol percuma selama 16 jam sehari di empat lebuhraya ini.


“Oleh itu, kami menggesa Kerajaan untuk memberi diskaun tambahan kepada pengguna empat lebuhraya ini, serta memberi penjelasan penuh ke Parlimen berhubung hakmilik ALR, terutama dari sudut kewajipan kewangan dan ketelusan perbelanjaan ALR,” katanya.


Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datu Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Hj Mohamad Sabu, Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Anthony Loke dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Panglima Madius Tangau.