ITALI JULANG PIALA EURO 2020ITALI JULANG PIALA EURO 2020
top of page
  • Wartawan Nabalu News

ITALI JULANG PIALA EURO 2020



12 Julai 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Itali membenamkan impian England menjulang piala kejohanan bola sepak Eropah (Euro 2020) selepas menundukkan pasukan tuan rumah itu 3-2 menerusi sepakan penalti di Stadium Wembley awal pagi tadi.


Pada minit kedua, sebaik wisel pemula dibunyikan, England mula bertindak pantas mengejar kejuaraan dengan mendahului Itali 1-0 menerusi pemain bek kiri Luke Shawl yang menerima hantaran kemas pemain Atletico Madrid, Kieran Trippier.


Selepas jaringan awal itu, kedua-dua pasukan melakukan serangan bertali arus sehingga tamat babak pertama perlawanan.


Pada babak kedua, penyerang Itali Federico Chiesa sekali lagi menguji gawang England menerusi sepakan deras namun berjaya dinafikan oleh penjaga gol England Jordan Pickford.


Kesungguhan Itali mencari gol penyamaan akhirnya tiba pada minit ke-67 menerusi sepakan Leonardo Bonucci dalam keadaan kelam kabut di kawasan kotak penalti England selepas sepakan sudut.


Selepas bertarung habis-habisan selama 120 minit dan kedua-dua pasukan masih terikat 1-1, akhirnya perlawanan mendebarkan itu ditentukan menerusi tendangan penalti.


Aksi cemerlang penjaga gol Itali Gianluigi Donnarumma yang menyelamatkan sepakan penalti Jadon Sancho dan Bukayo Saka membenamkan harapan England merangkul kejuaraan Euro 2020 buat pertama kali sejak kejohanan itu diperkenalkan pada tahun 1960.


Itali memenangi kejuaraan Euro kali ke-2 selepas melakukannya pada 1968.


Kemenangan Itali itu disambut meriah para penyokong dan peminat bola sepak di seluruh dunia termasuk Sabah melalui perkongsian dalam media sosial.


Seorang penyokong Pasukan Itali, Rizoh Bosorong berkata, penjaga gawang gol Itali, Gianluigi Donnarumma menjadi wira pasukan itu berjaya menepis dua sepakan penalti dari pemain muda England.


“Tahniah kepada pasukan Itali atas kejuaraan ini. Mereka telah menunjukkan permainan yang dominan dengan penguasaan bola dan hantaran menarik, manakala pasukan England lebih menampilkan pertahanan kemas dan sekali-sekala melakukan serangan balas.


“Ironinya, kedua-dua gol pada perlawanan akhir Euro 2020 dijaringkan oleh pemain pertahanan. Ini memberikan gambaran bahawa kedua-dua pasukan mempamerkan gaya permainan bola sepak moden dan mempunyai pemain pertahanan mampu naik untuk menyerang dn menghasilkan gol,” kata Rizoh.


Perlawanan final Euro 2020 merupakan final ke-4 bagi pasukan Itali, manakala, final euro merupakan penampilan sulung bagi pasukan England.


Sementara itu seorang lagi peminat bola sepak, Kimsoi Lodunis yang mengikuti perlawanan Euro 2020 sejak awal sehingga final berkata,


“Saya bukan peminat pasukan England dan Italy tapi saya tengok perlawanan ini sehingga habis. Saya menjangkakan Italy 2, England 2, tapi nasib menyebelahi Itali melalui tendangan penalti.


“Tahniah Itali, akhirnya berjaya menjulang Piala Euro 2020,” katanya.

bottom of page