Jadikan hak autonomi mandat utama dalam PRU – Salleh
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

10 April 2026
KOTA KINABALU: Hak perlembagaan Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu dijadikan isu penentu dalam pilihan raya umum akan datang, kata bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak.
Beliau berkata, keutamaan harus diberikan kepada pelaksanaan penuh MA63, pengagihan hasil yang adil termasuk tuntutan 40 peratus, autonomi pentadbiran yang lebih luas serta pembangunan seimbang.
Menurutnya, beberapa perkara utama berkaitan MA63 dan hak negeri kini sedang dibicarakan di mahkamah dan berkemungkinan mengambil masa untuk diselesaikan kerana melalui pelbagai peringkat rayuan.
“Menunggu keputusan mahkamah sahaja tidak mencukupi, sebaliknya isu-isu ini perlu turut ditangani secara politik.
“Dalam sistem demokrasi, perubahan yang berkekalan memerlukan mandat jelas daripada rakyat, dan pilihan raya umum adalah platform untuk menentukannya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Salleh turut menegaskan kekuatan kerusi Parlimen Malaysia Timur perlu dimanfaatkan secara strategik, dengan Sabah, Sarawak dan Labuan memiliki keseluruhan 57 daripada 222 kerusi Parlimen, sekali gus memainkan peranan penting dalam pembentukan kerajaan Persekutuan.
Dalam banyak keadaan, katanya kerajaan persekutuan tidak dapat dibentuk tanpa sokongan tiga wilayah tersebut, termasuk untuk mencapai majoriti dua pertiga.
“Jumlah kerusi yang kukuh mewujudkan kuasa tawar-menawar. Tanpanya, tuntutan boleh ditangguhkan, namun dengannya, isu-isu ini menjadi agenda utama.
“Mahkamah menentukan hak, tetapi pelaksanaan bergantung kepada kehendak politik. Isu-isu ini mesti diputuskan oleh rakyat dan diterjemahkan sebagai komitmen jelas dalam manifesto pilihan raya,” katanya.















Comments