Ops Hazard: JAS kompaun 214 premis, perkukuh penguatkuasaan buangan berjadual
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

10 April 2026
PUTRAJAYA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengeluarkan sebanyak 214 kompaun terhadap premis yang melakukan kesalahan berkaitan jenayah alam sekitar menerusi pelaksanaan siri operasi khas Ops Hazard 1.0 hingga 3.0 yang tamat pada Rabu.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 35 kompaun dikeluarkan dalam Ops Hazard 1.0, diikuti 78 kompaun dalam Ops Hazard 2.0, manakala 101 kompaun dikeluarkan dalam Ops Hazard 3.0.
Menurutnya, operasi bersepadu yang dilaksanakan secara berfasa di seluruh negara itu menyasaran pematuhan industri terhadap pengurusan buangan terjadual bagi mengelakkan risiko pencemaran alam yang boleh menjejaskan kesihatan awam dan ekosistem.
“Menerusi Op Hazard 1.0 yang memberi fokus kepada pengesan punca haram berjaya membongkar stor simpanan haram sisa elektronik (e-waste) di kawasan industri terpencil dan mengenalpasti rantaian pelupusan tanpa permit.
“Sebanyak 35 kompaun dikeluarkan dengan nilai RM34,000 melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127). Nilai sabitan bawah akta ini sebanyak RM193,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Arthur berkata, menerusi Ops Hazard 2.0, operasi diteruskan bagi mengekang pemprosesan buangan terjadual khususnya e-waste secara haram.
Jelasnya, sebanyak 69 premis diperiksa dengan 42 kertas siasatan dibuka di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan daripada jumlah itu, sebanyak 75 kompaun dikeluarkan bernilai RM150,000.
Sementara itu, menurut beliau, Ops Hazard 3.0 menyaksikan kejayaan terbesar apabila kira-kira 4,714 tan metrik e-waste bernilai lebih RM23.79 juta dirampas menerusi operasi serentak di beberapa negeri bagi membanteras aktiviti pemprosesan e-waste haram secara besar-besaran.
"Serbuan membabitkan 104 kilang di 11 negeri di seluruh Malaysia dengan 101 kompaun bernilai RM202,000 dikeluarkan. Kejayaan Ops Hazard 3.0 membuktikan ketelusan kementerian dalam menjaga kedaulatan alam sekitar," ujarnya.
Beliau berkata, kehadiran JAS dalam operasi berkenaan memainkan peranan penting khususnya dalam memperkukuhkan bukti teknikal bagi proses perundangan.
Tambahnya, sebagai agensi yang bertanggungjawab menyediakan kertas siasatan teknikal, kepakaran JAS memastikan setiap kes pencemaran dapat dinilai dengan adil dan tepat.
“Langkah ini selaras dengan pindaan Akta 127 yang telah diwartakan, yang memperuntukkan hukuman lebih tegas termasuk denda hingga RM10 juta atau hukuman penjara bagi melindungi kelestarian alam sekitar dengan lebih berkesan.
“Siri Ops Hazard 1.0 hingga 3.0 bukan sekadar operasi rutin, sebaliknya menjadi mesej amaran kepada semua pihak bahawa kerajaan kini mempunyai kuasa perundangan yang lebih mantap untuk membanteras jenayah alam sekitar,” katanya.















Comments