Jangan biarkan perbezaan pandangan jejas perpaduan – PM Anwar
- nabalunews
- 42 minutes ago
- 1 min read

16 Februari 2026
KUALA LUMPUR: Perbezaan pandangan tidak boleh dibiarkan meretakkan hubungan serta menghakis rasa percaya yang telah lama terbina dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sambil mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Tionghua yang akan menyambutnya esok, beliau menzahirkan keyakinan bahawa Malaysia akan terus melangkah gagah sekiranya keharmonian, rasa hormat dan ihsan dijadikan pegangan bersama.
“Tatkala wacana awam semakin mudah diganggu emosi dan hasutan, kita tidak boleh membiarkan perbezaan pandangan meretakkan hubungan dan menghakis rasa percaya yang telah terbina antara rakyat Malaysia sejak sekian lama.
“Sebaliknya, perbezaan ini harus menjadi ruang untuk memperteguh semangat muhibah, menolak prasangka serta memilih jalan dialog, rundingan dan kebijaksanaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar berkata, sambutan Tahun Baharu Cina sentiasa mengingatkan rakyat tentang nilai kemakmuran, harapan dan kekuatan untuk melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan.
Menurutnya, memasuki Tahun Kuda yang melambangkan ketekunan, keberanian dan semangat juang, rakyat juga diseru bertindak dengan kebijaksanaan serta kesederhanaan dalam menghadapi cabaran semasa.
Beliau turut memetik pandangan Confucius yang menekankan bahawa keharmonian terhasil apabila manusia saling menghormati dan memahami antara satu sama lain.
“Inilah asas yang memungkinkan masyarakat berbilang kaum hidup bersama secara aman walaupun berbeza latar budaya dan kepercayaan.
“Semoga tahun ini, seluruh rakyat Malaysia dilimpahkan dengan kesejahteraan dan kemakmuran,” katanya.














