top of page

Jangan politikkan isu pelantikan hakim – Istana Negara

  • nabalunews
  • Jul 10, 2025
  • 1 min read

10 Julai 2025


KUALA LUMPUR: Isu pelantikan hakim yang telah ditetapkan di bawah Perlembagaan Persekutuan hendaklah ditangani cermat dan tidak dipolitikkan.


Menerusi kenyataan hari ini, Istana Negara mengingatkan pelantikan hakim-hakim mahkamah atasan adalah urusan kenegaraan yang penting serta perlu ditangani secara cermat dan berintegriti selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.


“Mengikut Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, pelantikan hakim dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja.

“Perkara ini secara jelasnya menzahirkan prinsip semak dan imbang dalam sistem kehakiman negara,” menurut kenyataan itu.


Menurut Istana Negara, Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta 695) merupakan undang-undang yang memperuntukkan proses pemilihan calon hakim, namun kuasa untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong adalah terletak kepada Perdana Menteri.


“Hal pelantikan di bawah Perlembagaan Persekutuan hendaklah ditangani secara sah supaya perjalanan kuasa oleh Yang di-Pertuan Agong tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak,” tambah kenyataan itu.


Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak gesaan supaya satu suruhanjaya siasatan diraja (RCI) dan jawatankuasa pilihan khas parlimen ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan ketidakteraturan dalam pelantikan kehakiman.


AGC turut menegaskan pelantikan kehakiman perlu ditangani secara cermat bagi memastikan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri tidak dijadikan polemik politik.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page