top of page

Jannie Tekad Perkasa Penyertaan Wanita Dalam Kepimpinan

  • nabalunews
  • Jul 6
  • 2 min read

6 Julai 2025


PENAMPANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Jannie Lasimbang meletakkan iltizam untuk terus memperkasakan penyertaan wanita dalam bidang aktivisme, politik dan kepimpinan dalam mendepani cabaran masa depan.


Beliau berkata, iltizam itu berpaksikan lima tunjang utama iaitu pemerkasaan ekonomi wanita, keselamatan dan kesejahteraan sosial wanita, kepimpinan wanita, kesihatan wanita yang komprehensif dan mudah dicapai, serta pengiktirafan martabat wanita.


"Setiap wanita berhak mendapat alat, sokongan dan ruang yang diperlukan untuk memimpin dengan yakin serta membawa perubahan sebenar dalam masyarakat," katanya.

Janie berkata demikian semasa menyampaikan ceramah “Kepimpinan Wanita Beriltizam Untuk Semua” pada Program Kepimpinan Wanita dan Program Kesedaran Hentikan Jenayah Penipuan dalam Talian, di Wisma IDS, di sini, hari ini.


Bagi aspek pemerkasaan ekonomi, Jannie berkata antara inisiatif yang disasarkan termasuk skim pembiayaan mikro khas wanita berupa bantuan one-off sebanyak RM3,000 untuk individu atau kumpulan wanita yang ingin memulakan perniagaan kecil-kecilan tanpa lesen.


Selain itu, bantuan khas disalurkan kepada golongan wanita rentan termasuk balu, ibu tunggal dan wanita yang ditinggalkan bagi menyokong persekolahan anak-anak dan keperluan asas harian.


Beliau turut menekankan keperluan menjamin pemilikan tanah adat tanpa diskriminasi terhadap wanita, agar proses kelulusan dan pengiktirafan tanah adat diberikan secara adil.


"Dari segi keselamatan, undang-undang sedia ada perlu diperkukuh bagi menangani isu keganasan rumah tangga, gangguan seksual dan perkahwinan bawah umur termasuk melibatkan aspek perundangan di Sabah supaya tiada wanita tertinggal daripada perlindungan sewajarnya," katanya.


Jannie turut mengangkat cadangan penubuhan dana khas untuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita tempatan yang aktif dalam memperkasakan kesedaran hak, advokasi kesetaraan serta bantuan sosial agar usaha mereka dapat diperluaskan di seluruh Sabah.


Dalam pada itu, beliau menzahirkan komitmen melahirkan lebih ramai pemimpin wanita, termasuk menetapkan sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus jawatan kepimpinan komuniti disandang oleh wanita bagi memastikan pelaksanaan dasar yang inklusif dan adil.


Manakala dari aspek kesihatan wanita, Janie berkata akses perkhidmatan yang adil dan peka gender adalah keutamaan, termasuk untuk golongan wanita luar bandar, Orang Kurang Upaya (OKU) dan masyarakat Orang Asal.


"Kesihatan wanita adalah hak, bukan keistimewaan. Penjagaan ibu mengandung, kesihatan reproduktif, kesihatan mental, sokongan emosi dan latihan khas kepada petugas kesihatan perlu diperkukuh agar lebih sensitif terhadap keperluan wanita," ujarnya.


Jannie turut menggesa nama Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat diperbaharui kepada Kementerian Wanita, Keluarga dan Kesejahteraan Rakyat, selain diterajui oleh pemimpin wanita, sebagai langkah penting ke arah pengiktirafan rasmi peranan wanita.


Dalam program itu, beliau turut berkongsi pelbagai inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan di DUN Kapayan antaranya menaik taraf jalan kampung, memperkasakan aktiviti adat dan budaya, menyediakan perkhidmatan kesihatan bergerak, serta menyokong gerakan keusahawanan wanita.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page