Jauhi fitnah, prasangka dan berfikiran sempit - Agong
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Jauhi fitnah, prasangka dan berfikiran sempit - Agong


20 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia digesa untuk mengambil ibrah daripada peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya dengan membentuk masyarakat yang harmoni, jujur, amanah dan gagah perkasa.


Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menasihatkan semua pihak untuk menjauhi sikap fitnah-memfitnah dan berfikiran prasangka kerana amalan itu tidak mendatangkan faedah kepada bangsa dan negara.


Baginda juga menasihatkan rakyat untuk menjauhi sikap hasad dengki dan berfikiran sempit serta negatif dalam setiap tindakan.


“Beta ingin mengajak seluruh rakyat untuk bersatu hati dalam membentuk sebuah masyarakat yang lembut berbicara, halus dalam berpesan, harmoni dalam ikatan persaudaraan, jujur dalam pekerjaan, amanah dalam menggalas tugas dan gagah perkasa dalam mencipta kejayaan.


“Dan di sini, kita menasihatkan jauhi perasaan sifat hasad dengki, fitnah-memfitnah, janganlah berfikiran ‘judgemental’ (prasangka), sempit dan negatif sebab ianya tidak mendatangkan faedah kepada bangsa dan negara,” titah baginda dalam majlis sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan tahun 1445H/2023M di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini kelmarin.


Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.


Baginda berkata, kesatuan dan perpaduan tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan adat resam perlu diterjemahkan oleh rakyat Malaysia sejajar semangat dan roh hijrah demi membangunkan negara pertiwi ini.


“Penyatuan dan kesepaduan kaum Muhajirin dan Ansar yang berlaku pada 1,400 tahun lalu merupakan semangat hijrah, wajar dijadikan pedoman dalam mengurus kepelbagaian dan kerencaman negara,” kata baginda.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page