Jawatankuasa Pendidikan PH cadang beberapa langkah reformasi sistem pendidikanJawatankuasa Pendidikan PH cadang beberapa langkah reformasi sistem pendidikan
top of page
  • Writer's pictureIlona Andrew

Jawatankuasa Pendidikan PH cadang beberapa langkah reformasi sistem pendidikan


29 Ogos 2021 Oleh Ilona Andrew KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH) hari ini telah mencadangkan beberapa langkah untuk mereformasikan sistem pendidikan bagi menangani segala krisis pendidikan. Melalui satu kenyataan bersama yang ditujukan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri, jawatankuasa itu berkata ini cadangan itu perlu dikemukakan sesuai dengan semangat gagasan 'Keluarga Malaysia'. Bagi Reformasi Pendidikan Dasar, satu pelan besar merangkumi pendidikan dasar, pendidikan tinggi dan pendidikan TVET, serta perancangan jangkamasa panjang yang strategik, mapan dan telus untuk pendidikan selepas pandemik berakhir perlu dirangka. "Pernyataan Polisi 'Pendidikan di kala wabak COVID-19: Solusi buat Malaysia' oleh mantan Menteri Pendidikan boleh dijadikan dasar dan panduan untuk tujuan berkenaan. "Selain itu, penubuhan 'Majlis Tindakan Pendidikan Kebangsaan' (MTPK) yang akan dianggotai oleh para pemegang taruh, terutamanya wakil-wakil dari NUTP, UNICEF, WHO, KKM, pakar-pakar Pendidikan, Institusi Pengajian Tinggi (IPT), badan-badan pengkaji, NGO Pendidikan, Ahli-Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang, terutamanya mereka yang pernah bergelumang dalam sektor pendidikan untuk menangani masalah pendidikan pasca-pandemik yang amat serius ini melalui penghasilan pelan yang disebutkan serta memantau pelaksanaannya. "Kerajaan juga hendaklah menggunakan secara maksimum kepandaian buatan dan data raya untuk membantu menangani kemelut Pendidikan ini," kata jawakatankuasa itu. Pengurusan berkaitan penutupan dan pembukaan sekolah sewaktu COVID-19 hendaklah diturunkan kepada peringkat sekolah dan PPD dengan persetujuan ibu bapa dan sebarang keputusan yang dibuat juga hendaklah berdasarkan sains dan data dengan dipandu garis panduan oleh WHO. "Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hendaklah mempunyai pakar rujukan utama berhubung sains dan data dengan melantik pakar-pakar dari hospital-hospital Universiti Awam sebagai rujukan utama. Elakkan keputusan pukul rata atau 'one size fits all'. "Kebenaran untuk Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tanpa kira pihak kerajaan atau pembangkang untuk terlibat dengan pihak sekolah dan institusi Pendidikan, Pejabat Pendidikan Daerah, dan jabatan Pendidikan Negeri di kawasan masing-masing untuk membangunkan pendidikan serta infrastruktur dan bukan untuk tujuan politik. "Laporan Jawatankuasa Dasar Pendidikan Negara 2019 terutamanya berkaitan Model Pendidikan Baharu (New Education Model) turut dilaksanakan dan ianya perlu dibawa ke kabinet untuk diluluskan dan dilaksanakan selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025)." Di bawah reformasi itu, Jawatankuasa Dataraya (Big Data Committee) di KPM perlu dihidupkan semula agar segala keputusan, dasar dan pendidikan dapat dirumuskan dan dipandu oleh data, sains, deep analytics dan kepandaian buatan. Pemberian insentif kepada para guru juga perlu di dalam bentuk one-off ataupun pengecualian cukai di atas usaha dan wang ringgit yang mereka gunakan sepanjang Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Program Sarapan Pagi percuma dilaksana semula kepada setiap murid di sekolah seperti mana yang pernah direncanakan pada tahun 2019 apabila sekolah dibuka semula. Menurut mereka, program ini akan dapat membantu keluarga yang kini ramai tergolong dalam B40 dan juga dapat membantu para pengusaha kantin sekolah dan pembekal makanan basah ke kantin-kantin sekolah. Bagi Reformasi Pengajian Tinggi pula, Majlis Pendidikan Tinggi Negara (MPTN) yang termaktub dalam Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996 (Akta 546) perlu ditubuhkan semula. "Demi menjamin kewibawaan dan kredibiliti institusi pengajian tinggi, keanggotaan Lembaga Pengurusan (LPU) Universiti Awam juga hendaklah bebas dari lantikan politik dan dihadkan hanya kepada dua penggal sahaja bagi setiap lantikan. "Imej ahli akademi Malaysia yang tercalar kerana isu penerbitan di jurnal pemangsa (predator Journals) dan juga isu plagiarisme perlu ditangani secara sistematik. "Selain itu, Jawatankuasa Integriti Penyelidikan Kebangsaan yang pernah dicadangkan oleh Majlis Sains Negara (2017) perlu diwujudkan segera. "Akta 605 perlu dipinda untuk menjamin kebebasan akademik dan menjaga integriti para akademik sepertimana yang pernah dibawakan pada tahun 2019, ianya hanya perlukan kelulusan dari Perdana Menteri tanpa perlu dibawa ke parlimen. e) Meneruskan usaha yang telah dilakukan oleh JK Pemansuhan AUKU untuk memansuhkan Akta Universiti Kolej Universiti 1971 (Akta 30) dan digantikan dengan undang-undang yang lebih komprehensif bersekali dengan akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555); Dalam pada itu, jawatankuasa itu turut bercadang agar usaha penubuhan Kesatuan Pelajar di semua IPT (Institut Pengajian Tinggi) dapat diteruskan. "Jawatankuasa Pendidikan PH dengan tegas memohon agar cadangan-cadangan ini dipertimbang Perdana Menteri termasuk Menteri Kanan Pendidikan dan Menteri Pengajian Tinggi bagi menghentikan segala krisis pendidikan yang sedang berlaku di negara kita." Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Pengerusi Dr Maszlee Malik (Ahli Parlimen Simpang Renggam), Nik Nazmi Nik Ahmad (Ahli Parlimen Setiawangsa), Datuk Dr Hasan Bahrom (Ahli Parlimen Tampin), Teo Nie Ching (Ahli Parlimen Kulai), Rusnah Aluai (Ahli Parlimen Tangga Batu), Natrah Ismail (Ahli Parlimen Sekijang), dan Steven Sim Chee Keong (Ahli Parlimen Bukit Mertajam).

bottom of page