JIM Tahan 24 PATI
- nabalunews
- 10 minutes ago
- 1 min read

24 Mei 2025
RANAU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menahan 24 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam operasi penguatkuasaan di tiga premis sekitar daerah Ranau, semalam.
Dalam operasi bermula jam 3 petang itu, semua PATI terbabit ditahan selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan berkaitan akta Imigresen.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan JIM Sabah berkata, operasi dilaksanakan dengan melibatkan seramai 21 pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Penguatkuasa JIM Negeri Sabah.

Katanya, seramai 38 individu diperiksa dan hasil pemeriksaan ini, seramai 24 PATI ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada warganegara China, Pakistan dan Indonesia. Antara kesalahan yang dikesan termasuk tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan melanggar syarat Pas.
“Semua PATI terbabit dibawa ke Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, JIM akan terus melaksanakan operasi secara berterusan bagi mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warga asing yang melanggar undang-undang imigresen negara ini.
Katanya, pihak majikan juga diingatkan agar tidak menggaji, melindungi atau menyembunyikan PATI kerana tindakan tegas akan diambil mengikut Akta Imigresen 1959/63 .
“Majikan juga boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” katanya.
Comments