Jom@COOP inisiatif IKMa perkasa gerakan koperasi
- nabalunews
- Jun 10
- 2 min read

10 Jun 2025
KOTA BELUD: Program Jom@COOP dilihat sebagai pemangkin dalam memperkasa pembangunan modal insan dan gerakan koperasi menerusi pelaksanaan di 50 lokasi seluruh negara tahun ini.
Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Modal Insan Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Mohd Zaib Mat Yunus, berkata inisiatif itu bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai peranan koperasi serta anggotanya dalam memajukan ekonomi setempat dan negara.
Katanya, salah satu fokus IKMa adalah untuk menyampaikan informasi yang komprehensif berkaitan peluang latihan, perniagaan, serta perkembangan ekonomi yang boleh dimanfaatkan oleh komuniti koperasi.

“Ini termasuk maklumat mengenai bantuan dan sokongan yang disediakan oleh agensi-agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
“Usaha ini selaras dengan pelaksanaan Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DaKoM 2030) dan Pelan Digitalisasi Koperasi (DigiKOP 2030),” katanya ketika berucap semasa program Jom@COOP di sini, hari ini.
Program Jom@COOP Kota Belud 2025 sempena Pesta Kaamatan dan Perasmian Tamu Desa Zon Melangkap itu telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
Mohd Zaib berkata, penganjuran Program Jom@COOP di 50 lokasi seluruh negara dijangka memperluaskan capaian kepada lebih banyak koperasi agar mereka dapat menyertai siri latihan yang disediakan.
“Sabah turut diberi perhatian khusus dengan sepuluh lokasi terpilih bagi memastikan manfaat program ini turut dirasai oleh komuniti koperasi di wilayah ini,” katanya.
Setakat Mei tahun ini, Program Jom@COOP telah dilaksanakan di 44 lokasi di seluruh negara dengan penglibatan seramai 4,669 peserta.
Selain itu, katanya, IKMa juga telah merangka lebih 650 program pembangunan modal insan tahun ini, termasuk 64 program khusus di Sabah.
“Ini membuktikan komitmen IKMa dalam merapatkan jurang antara koperasi bandar dan luar bandar serta memastikan tiada yang tercicir dalam agenda pemerkasaan ekonomi koperasi,” katanya.
Beliau turut menekankan pemerkasaan modal insan koperasi yang berilmu, berkemahiran dan mampu menyesuaikan diri dengan teknologi merupakan kunci kepada kemajuan koperasi dalam era digital.
Dalam perkembangan lain, Mohd Zaib berkata IKMa menyambut baik visi Ewon untuk menjadikan tamu desa sebagai instrumen pemerkasaan ekonomi rakyat melalui pendekatan koperasi.
Sebagai sokongan terhadap agenda itu, katanya, IKMa Zon Sabah dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) sedang menjalankan penyelidikan bertajuk “Projek Tamu Desa: Model Koperasi sebagai Pengupayaan Keusahawanan Luar Bandar”.
“Ia dijangka menjadi pemangkin kepada pelaksanaan model tamu desa koperasi yang lebih sistematik, mampan dan berpaksikan komuniti,” katanya.


















Comments