top of page

JPJ tambah waktu operasi kaunter di seluruh negara mulai Sabtu ini

  • nabalunews
  • 7 hours ago
  • 2 min read

ree

22 September 2025


PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menambah waktu pengoperasian Kaunter Lesen Memandu dan Kaunter Pelbagai pada hujung minggu di semua pejabat JPJ Negeri dan cawangan di seluruh negara bermula 27 September hingga 26 Oktober.


Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, langkah itu selaras dengan pelaksanaan program Budi Madani RON95 (BUDI95) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


“Di Kelantan, Terengganu dan Kedah, Kaunter Lesen Memandu dan Kaunter Pelbagai dibuka pada Jumaat hingga Sabtu manakala Sabtu dan Ahad (negeri-negeri lain) bermula 8.30 pagi hingga 4.30 petang.


"Langkah ini bagi memberikan lebih ruang dan fleksibiliti kepada orang ramai, khususnya mereka yang mempunyai kekangan masa pada hari bekerja untuk membaharui lesen memandu," katanya dalam kenyataan hari ini.


Aedy Fadly berkata, JPJ merekodkan seramai 2.3 juta pemegang Lesen Memandu Kompeten (CDL) dalam status tidak aktif iaitu tamat tempoh melebihi tiga tahun, manakala 15.2 juta lagi merupakan pemegang lesen CDL aktif.


Justeru, beliau mengingatkan pemegang lesen yang telah tamat tempoh melebihi tiga tahun diwajibkan menduduki semula ujian Kurikulum Pendidikan Pemandu Bahagian 2 dan 3 di institut memandu untuk mendapatkan atau mengaktifkan semula lesen mereka.


“Bagi pemegang lesen memandu yang tamat tempoh tidak melebihi tiga tahun adalah diseru untuk segera memperbaharui lesen melalui aplikasi MyJPJ, portal mySikap dan kiosk tanpa perlu hadir ke kaunter secara bersemuka.


"Dengan pelaksanaan inisiatif ini, JPJ yakin dapat membantu rakyat memanfaatkan inisiatif yang diumumkan kerajaan dengan lebih menyeluruh, di samping meningkatkan tahap pematuhan undang-undang jalan raya melalui penguatkuasaan lesen memandu yang sah," katanya.


Terdahulu, Perdana Menteri hari ini mengumumkan harga petrol RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter, berkuat kuasa pada 30 September ini melalui penyasaran subsidi di bawah program BUDI95.


Semua warganegara Malaysia yang mempunyai lesen memandu yang sah layak menerima subsidi itu secara automatik dengan ketetapan siling 300 liter sebulan.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page