top of page
nabalunews

JPKK dan JPKKP bakal sertai pasukan perlindungan kanak-kanak bawah KPWKM


2 September 2024


IPOH: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, berkata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) akan turut menganggotai Pasukan Perlindungan Kanak-kanak di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).


Jelas beliau, langkah ini bertujuan memperkuat usaha mengesan dan melaporkan kes penderaan serta pengabaian kanak-kanak, khususnya di kawasan kampung.


Katanya, usaha ini adalah hasil kerjasama dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), dan perbincangan mengenai perkara tersebut kini berada di peringkat akhir.


Beliau menegaskan pentingnya peranan JPKK dan JPKKP dalam menyalurkan maklumat kritikal yang dapat membantu melindungi kanak-kanak.


"Jadi saya menyeru bagi pihak kementerian agar komuniti termasuk kanak-kanak sendiri boleh menjadi mata dan telinga kepada pihak kerajaan.


Kita pun boleh membantu memupuk satu sikap ambil peduli dalam membantu melaporkan nasib golongan memerlukan kepada KPWKM.


"...sebab kementerian tidak boleh melaksanakan program ini bersendirian kita perlukan kerjasama daripada semua pihak," kata Noraini selepas menghadiri Program Advokasi Perlindungan Kanak-kanak: Kasih Kanak-Kanak Peringkat Negeri Perak di Sekolah Kebangsaan Seri Kelebang, Chemor, hari ini.


Menurut beliau, dalam tempoh Januari hingga Mei 2024, seramai 3,957 kanak-kanak di seluruh negara telah dikenal pasti memerlukan pemeliharaan dan perlindungan.


KPWKM telah melantik 383 pegawai pelindung dan pegawai akhlak secara tetap, bersama-sama 280 pegawai kontrak yang ditempatkan di pejabat kebajikan di seluruh negara bagi membantu golongan kanak-kanak ini.

Comentarios


bottom of page