JPN terima 24,831 permohonan kad pengenalan setakat 15 Ogos lalu
1 September 2024
KUALA NERUS: Jabatan Pendaftaran Negara menerima sebanyak 24,831 permohonan dokumen pengenalan diri melalui Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) di seluruh negara bermula Januari hingga 15 Ogos lalu.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, permohonan berkenaan diperoleh melalui pelaksanaan 1,431 program Mekar yang dibahagikan kepada kategori Mekar Ihsan, Mekar Komuniti, Mekar Identiti, Mekar Pahlawan dan Mekar Diaspora.
Beliau berkata, selain permohonan dokumen pengenalan diri, sebanyak 19,239 khidmat nasihat diberikan dalam tempoh sama.
“Di Terengganu sahaja, sebanyak 87 program Mekar sudah dijalankan dalam tempoh sama dengan rekod sebanyak 245 permohonan dan 592 khidmat nasihat diberikan.
“Ini adalah program yang berterusan dan saya minta Ketua Pengarah JPN, jumlah tahun ini mesti melepasi jumlah tahun lepas, jadi setiap tahun kena ada peningkatan.
“Tahun lepas, kita mengadakan 1,762 program Mekar dengan 29,340 permohonan diterima dan 23,671 khidmat nasihat diberikan, jadi untuk tahun ini, kena lepas jumlah itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Kampung Baru Pulau Redang di sini hari ini.
Saifuddin berkata, sebanyak 41 kad pengenalan diberikan kepada penduduk iaitu 21 membabitkan gantian kad pengenalan, enam permohonan kad pengenalan 12 tahun dan 14 MyKid.
Katanya, inisiatif Mekar bukan sahaja bertujuan untuk menangani isu keciciran untuk memiliki dokumen pengenalan diri namun secara tidak langsung memudahkan urusan pendaftaran serta meringankan beban komuniti di Pulau Redang memandangkan pejabat terdekat untuk urusan berkenan adalah di JPN Kuala Terengganu.
Comments