KABINET BAYANGAN PERLU UNTUK TAWAR DASAR ALTERNATIF KEPADA RAKYAT: MADIUSKABINET BAYANGAN PERLU UNTUK TAWAR DASAR ALTERNATIF KEPADA RAKYAT: MADIUS
top of page
  • nabalunews

KABINET BAYANGAN PERLU UNTUK TAWAR DASAR ALTERNATIF KEPADA RAKYAT: MADIUS


4 Mac 2021


KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Wilfred Madius Tangau berkata, kabinet bayangan perlu diwujudkan sebagai tawaran dasar alternatif kepada rakyat.


Beliau berkata, pembentukan demokrasi di negara ini tidak dapat dilaksanakan tanpa Kabinet bayangan, apatah lagi dengan penggantungan Parlimen ketika ini, "ia bermaksud tiada dasar alternatif yang akan dicadangkan kepada orang ramai".



“Sekiranya kita (Pembangkang) ingin mewujudkan demokrasi matang di negara ini, ia bermaksud rakyat memilih kita berdasarkan dasar yang ditawarkan dan maklumat yang diberikan.


"Bagaimanapun tanpa sebuah Kabinet bayangan, ia tidak dapat dilakukan,” katanya.


Beliau berkata demikian pada perbincangan panel ‘Implementation of a Shadow Cabinet’ secara maya hasil anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) pada Khamis.


Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata, pihak Pembangkang tidak boleh lagi melengahkan masa sebaliknya bertindak pantas.



Sehubungan itu beliau mencabar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menubuhkan Kabinet bayangan bagi memastikan proses semak dan imbang ke atas kerajaan dapat berlangsung dengan lebih berkesan.


“Berhenti mengatakan bahawa parti-parti pembangkang berpecah-belah dan semua ahli mahukan jawatan ini dan jawatan itu. Mulakan proses itu sebelum terlambat.


“Selagi kami tidak melaksanakannya, kami selaku pihak Pembangkang tidak berpeluang memainkan peranan penting sebagai penggubal undang-undang,” katanya.


Beliau berkata ahli Parlimen Pembangkang tidak perlu risau jika tidak mendapat pengiktirafan daripada kerajaan yang memerintah kerana proses tersebut akan berlaku secara semula jadi.


bottom of page