top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kabinet bersetuju mekanisme harga dua peringkat minyak masak


2 Nov 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata jemaah menteri secara prinsip bersetuju dengan cadangan pelaksanaan harga dua peringkat bagi minyak masak untuk mengawal kenaikan harga komoditi itu.


Beliau berkata mekanisme itu melibatkan penetapan harga minyak sawit mentah (CPO) yang berbeza untuk pasaran domestik dan eksport.


"Kabinet secara prinsip bersetuju dengan cadangan ini dan arahan lanjut daripada cabinet berkaitan cadangan itu supaya kementerian yang terlibat untuk melibatkan pemain industri dalam sesi libat urus," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat.


Beliau berkata Kementerian Perladangan dan Komoditi akan membuat pengumuman lanjut mengenai pendekatan harga dua peringkat bagi CPO tidak lama lagi.


Armizan juga berkata KPDN memerlukan RM1.9 bilion untuk melaksanakan subsidi minyak pada tahun ini,


Jelas beliau lagi, peruntukan asal RM500 juta yang telah habis dibelanjakan pada dua bulan pertama tahun ini.


"Khamis lepas kita dapat lagi tambahan RM350 juta untuk tampung keperluan subsidi ini dan Kementerian Kewangan sudah beri komitmen bahawa peruntukan tambahan akan disalur bagi teruskan subsidi," katanya.


Menurut Armizan, kenaikan harga CPO yang luar jangka dan keterlaluan adalah antara faktor yang menyebabkan peningkatan peruntukan subsidi minyak itu.


Beliau berkata pada 2019 kerajaan hanya memperuntukkan sejumlah RM269 juta bagi subsidi itu, sebelum meningkat kepada RM528.2 juta pada 2020, RM2.19 bilion (2021) dan RM2.41 bilion tahun lepas.


Dalam pada itu, menjawab kepada Suhaizan Kayat (PH-Pulai) mengenai langkah-langkah untuk mengelakkan ketirisan subsidi minyak, Armizan berkata pengagihan minyak mengikut zon adalah antara syor yang dipertimbangkan oleh KPDN.


"Sekarang kita buat edaran mengikut negeri tapi kita fikir pengagihan mengikut zon seperti Utara, Tengah, Selatan, Sabah dan Sarawak mungkin lebih mudah untuk lakukan pemantauan.


"Bagaimanapun, kita akan lihat laporan audit yang kita jangka terima pada suku pertama tahun depan dan jadikannya rujukan untuk merangka mekanisme baharu yang lebih baik," katanya.


Beliau juga berkata sebanyak 169 tindakan kes penguatkuasaan berkaitan minyak masak direkodkan KPDN dengan nilai rampasan RM1.85 juta, selain menerima 624 serahan kes daripada pelbagai agensi berkaitan melibatkan RM4.4 juta nilai rampasan.


תגובות


bottom of page