Kaedah pembayaran balik PTPTN mengikut ICL tidak membebankan peminjam – PM Anwar
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kaedah pembayaran balik PTPTN mengikut ICL tidak membebankan peminjam – PM Anwar


24 Oktober 2023

Oleh Wartawan Nabalu


PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan bersetuju dengan cadangan Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional (NRC) untuk melaksanakan kaedah pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengikut Income Contingent Loan (ICL).


Beliau berkata kaedah itu adalah praktikal dan tidak membebankan peminjam, kerana pembayaran balik akan dibuat secara automatik menerusi pemotongan gaji oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).


Anwar berkata kadar bayaran balik pinjaman PTPTN adalah amat rendah dan kerajaan bimbang dengan kelestarian PTPTN untuk jangka masa panjang.


"Sehingga Mei 2023, jumlah pinjaman yang belum dibayar berjumlah RM66.9 bilion. Jumlah ini sekiranya dibayar, boleh membiayai kira-kira 2.5 juta orang pelajar baharu," katanya dalam ucapan pada majlis penutup Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), di sini hari ini.


Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof. Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata NRC juga mencadangkan untuk memperkenalkan mekanisme baharu pembiayaan, dimana universiti awam (UA) terikat dengan kerajaan menerusi Perjanjian Tahap Perkhidmatan (SLA), untuk menghasilkan pelajar dan penyelidikan yang berkualiti tinggi.


Beliau berkata daripada model geran blok, cadangan yang dikemukakan adalah supaya kerajaan 'membayar' kepada institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) untuk perkhidmatan pendidikan, berdasarkan formula pembiayaan berasaskan prestasi tersebut.


"Formula ini harus berdasarkan kebolehpasaran graduan, gaji siswazah, dan kualiti pendidikan. Institusi yang dapat menonjolkan prestasi yang baik, akan diperuntukkan kos yang lebih tinggi bagi setiap pelajar," katanya.


Anwar berkata NRC juga melihat kepada aspek pengembangan dana endowmen universiti, dengan menghapuskan peraturan perbelanjaan tahunan sebanyak 50 peratus yang dikenakan terhadap endowmen dan dana wakaf.


Beliau berkata universiti terkemuka dunia seperti Universiti Harvard dan Institut Teknologi Massachusetts (MIT), mempunyai dana endowmen besar yang membolehkan mereka melabur semula dalam sistem pendidikan, termasuk meningkatkan alat dan bahan pengajaran, mengembangkan penyelidikan dan menyediakan biasiswa.


"Ini akan membolehkan dana endowmen dan wakaf dapat dikembangkan dan seterusnya dilaburkan semula, bagi meningkatkan akses dan standard pendidikan tinggi," katanya.


Anwar berkata secara keseluruhan cadangan yang dikemukakan NRC, yang ditubuhkan KPT untuk mereformasikan pendidikan tinggi negara, amat baik dan boleh dibincangkan lanjut dengan pihak Kementerian Kewangan (MOF).

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page