Kajian Semula Pemberian Khas Sabah, Sarawak agenda tetap MTPMA63
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kajian Semula Pemberian Khas Sabah, Sarawak agenda tetap MTPMA63


19 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kajian semula pemberian khas Sabah dan Sarawak adalah agenda tetap Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63).


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 Bil. 1 Tahun 2023, di Bangunan Perdana Putra, kelmarin.


“Mesyuarat membincangkan status tindakan yang telah dilaksanakan oleh beberapa Kementerian berkaitan antaranya seperti Kajian Semula Pemberian Khas di bawah Perkara 112D, Perlembagaan Persekutuan.


“Status Cadangan Pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Berhubung Keanggotaan Wakil Kerajaan Sabah dan Sarawak Sebagai Anggota Tetap LHDN, Penyerahan Semula Tanah Direzabkan Bagi Maksud Persekutuan Di Negeri Sabah dan Sarawak dan Pentadbiran Badan Kehakiman di Sabah dan Sarawak.


“Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 turut membincangkan tiga kertas iaitu mengenai Kuasa Autonomi Kesihatan dan Pendidikan yang dibentangkan oleh Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak serta Cadangan Penukaran Status Pelabuhan Bintulu Sebagai Pelabuhan Persekutuan Kepada Pelabuhan Negeri oleh Kerajaan Negeri Sarawak,” katanya dalam ciapan Twitternya.


Fadillah berkata, perkara atau tuntutan lain berkaitan MA63 yang masih belum selesai akan terus dibincang dan dipantau oleh Jawatankuasa Teknikal ini.


Di samping itu katanya, jawatankuasa kerja yang ditubuhkan di peringkat kementerian atau agensi berkaitan akan memastikan perkara atau tuntutan yang masih belum selesai tersebut diambil tindakan sewajarnya.


“Selain itu, sekiranya terdapat isu-isu baharu di bawah MA63, ia boleh dibawa ke MTPMA63 oleh Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak untuk dibincang dan diteliti sebelum tindakan lanjut dapat dilaksanakan,” katanya.


Turut hadir Menteri di JPM (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali ; Timbalan Menteri di JPM (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Wilson Ugak Kumbong ; dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.


Sarawak diwakili oleh ketiga-tiga Timbalan Premier iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hassan dan Dato’ Sri Professor Dr. Sim Kui Hian; selain Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar Marzuki.


Menteri Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan Sarawak, @ybkarimhamzah ; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 Dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali & Peguam Besar Negeri Sarawak, Datuk Talat Mahmood.


Sabah diwakili kedua-dua Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan dan Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam ; selain Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar Untong dan Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Nor Asiah binti Mohd Yusof.


Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 ini amat penting bagi membolehkan Kerajaan merencana tindakan-tindakan susulan yang pragmatik berhubung status perkara / tuntutan di bawah MA63 yang masih belum selesai dilaksanakan.

bottom of page