Kalimah Allah: Kabinet dapat perkenaan Agong persembah cadangan kepada Majlis Raja-Raja
- Wartawan Nabalu News
- May 17, 2023
- 1 min read

17 Mei 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah bagi mempersembahkan cadangan-cadangan mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah ‘Allah’ kepada Majlis Raja-Raja.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bagi mencapai penyelesaian secara menyeluruh mengenai isu penggunaan kalimah Allah.
“Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini telah membincangkan keputusan Peguam Negara untuk menarik balik rayuan terhadap kes Jill Ireland berhubung bahan penerbitan yang mengandungi kalimah ‘Allah’.
“Jemaah Menteri mengambil maklum bahawa keputusan yang dibuat hanya berkisar soal pentadbiran dan tidak merubah ketetapan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2014.
“Jemaah Menteri menegaskan bahawa Kerajaan menghormati, memperakui, dan menerima pakai ketetapan enakmen negeri- negeri dan titah Yang di-Pertuan Agong pada 7 Februari 2023 yang menzahirkan agar dikekalkan dasar sedia ada yang sedang berkuat kuasa berhubung isu penggunaan kalimah Allah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Anwar berkata, kerajaan akan sentiasa mempertahan Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 3 berhubung agama.
“Agama Islam adalah agama Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.
“Bagi menyelesaikan isu ini secara menyeluruh dan bersepadu, Jemaah Menteri pada hari ini telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan cadangan-cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah ‘Allah’ kepada Majlis Raja-Raja.
“Pada masa yang sama memperkukuh perpaduan dan keharmonian di antara kaum dan agama di Malaysia,” katanya
Comments