Malaysia, New Zealand terus perkukuh hubungan dua hala
- nabalunews
- 3 hours ago
- 1 min read

24 Mac 2026
KUALA LUMPUR: Malaysia dan New Zealand akan terus memperkukuh hubungan dua halanya di bawah kerangka perkongsian strategik termasuk dalam bidang perdagangan, pelaburan serta kerjasama tenaga.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata komitmen bersama itu disuarakan sewaktu perbualan telefon dengan Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon.
“Kami bertukar pandangan mengenai perkembangan di Asia Barat serta kesannya terhadap keselamatan dan ekonomi global.
“Dalam masa yang sama, kami menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan dua hala di bawah kerangka Perkongsian Strategik,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Menurut Anwar, kedua-dua negara akan terus berhubung rapat dalam mendepani cabaran semasa khususnya konflik di Asia Barat demi kepentingan bersama.
Beliau turut menegaskan pendirian Malaysia yang mengecam keras serangan ketenteraan terhadap Iran serta menolak sebarang tindakan unilateral yang bercanggah undang-undang antarabangsa.
“Malaysia kekal menggesa gencatan senjata segera, perlindungan orang awam, serta kembalinya semua pihak ke meja rundingan melalui saluran diplomasi,” katanya.
Dalam pada itu, kedua-dua pemimpin turut membincangkan kesan konflik berkenaan terhadap sektor tenaga New Zealand, termasuk peningkatan harga bahan api dan tekanan terhadap ekonomi domestik negara itu.
Anwar berkata beliau menyambut baik langkah proaktif kerajaan New Zealand dalam memperkukuh keselamatan tenaga serta mempercepat peralihan kepada tenaga boleh baharu.















Comments