KBS tawar peruntukan tambah baik padang bola sepak di setiap negeri - Hannah Yeoh
top of page
  • Wartawan Nabalu News

KBS tawar peruntukan tambah baik padang bola sepak di setiap negeri - Hannah Yeoh



8 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menawarkan peruntukan untuk menaik taraf padang bola sepak di seluruh negeri dengan penanaman rumput jenis Zeon Zoysia.


Tawaran ini dibuat oleh Menteri KBS, Hannah Yeoh, ketika mesyuarat pertama KBS bersama exco setiap negeri pada bulan Januari lalu.


Menurut Hannah Yeoh, setiap negeri perlu memilih satu stadium untuk projek menaik taraf padang tersebut dan melakukan penyelenggaraan awal sebelum peruntukan dapat diluluskan.


Yeoh menjelaskan bahawa pihak KBS akan menyokong pembangunan akar umbi bola sepak wanita dari segi infrastruktur dan peruntukan untuk tempoh lima tahun akan datang.


"Mereka perlu selenggara padang yang dipilih itu dulu untuk pastikan saliran air semua okay, selepas itu dibaiki, baru KBS beri peruntukan tanam rumput," katanya semalam.


Yeoh juga menyatakan bahawa penyelenggaraan tahunan padang berkenaan adalah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri masing-masing jika mereka memilih untuk menerima tawaran itu.


"Bukan semua negeri nak rumput ini dan bukan semua negeri mampu untuk selenggara, sebab itu kita tunggu maklum balas," katanya.


Menurut Yeoh, wanita dalam sukan mesti diberi peluang untuk menonjolkan prestasi dan kemahiran masing-masing supaya bola sepak dan pasukan wanita sinonim, tidak rasa ganjil, stereotaip itu yang perlu dibuang.


bottom of page