KBSS ANJUR PROGRAM KHAS BANTU TANGANI COVID-19KBSS ANJUR PROGRAM KHAS BANTU TANGANI COVID-19
top of page
  • Wartawan Nabalu News

KBSS ANJUR PROGRAM KHAS BANTU TANGANI COVID-19


Datuk Ellron Angin

16 Jun 2021

Oleh Wartawan Nabalu News

KOTA KINABALU: Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) menyambut baik Kenyataan mantan Menteri Belia dan Sukan Sabah Phoong Jin Zhe baru-baru ini berhubung usaha mempercepatkan proses vaksinasi Covid-19 di negeri ini.

Menteri KBSS Datuk Ellron Angin menjelaskan bahawa kementerian itu sememangnya telah melaksanakan program-program yang dinyatakan oleh Phoong di mana program seterusnya akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut keadaan dan kesesuaian masa.

“KBSS telah menjalankan Bengkel dan Program Khas meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya golongan belia dan beliawanis dalam usaha kita bersama seluruh jentera kerajaan memerangi Covid-19.

“Banyak lagi program dan aktiviti berkenaan Covid-19 ini telah kita rancang, tetapi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini memaksa kita berhenti seketika,” kata beliau.

Sebelum ini, Kementerian telah melaksanakan Bengkel Masyarakat Sihat dan Cergas dalam Norma Baharu yang mana telah dilaksanakan di empat buah daerah iaitu Tuaran, Kudat, Kuala Penyu dan Papar.

Penganjuran bengkel ini bertujuan untuk memberi kesedaran dan mendidik masyarakat tentang bahaya dan ancaman Covid-19 kepada manusia sejagat.

Pengisian program ini turut melibatkan ceramah berkenaan vaksinisasi Covid-19 dan Pelaksanaan SOP oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sabah di daerah-daerah yang terlibat, Kempen Keselamatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta taklimat bahaya penyalahgunaan dadah dikalangan belia dan beliawanis oleh pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan.

“Program ini dilaksanakan mengikut sepenuhnya SOP yang digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sabah, di mana hanya 120 peserta terlibat untuk setiap kali penganjuran.

“Sepatutnya selepas empat daerah yang disebutkan itu, KBSS merancang untuk meneruskan program yang sama di lima daerah lagi, tetapi tertangguh disebabkan PKP sehingga ke hari ini,” tambah Ellron.

“Selepas berakhirnya bengkel ini, KBSS akan melaksanakan Program Khas Covid-19 di 27 daerah seluruh negeri Sabah.

“Program Khas ini adalah menjurus kepada kefahaman program vaksinasi, Peraturan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan kesukarelawan di kalangan belia dan beliawanis,” katanya lagi.

Program Khas ini akan dilaksanakan secara berterusan sehingga program vaksinisasi telah selesai sepenuhnya dan pandemik Covid-19 berakhir.

Terdahulu dalam kenyataan Phoong, meminta Datuk Elron bersama jentera KBSS memainkan langkah lebih proaktif dalam mewujud dan menanam kesedaran serta mempercepatkan proses vaksinasi di negeri ini.


Phoong meminta Datuk Ellron untuk mengaktifkan organisasi di bawah naungan KBSS untuk mengajak lebih ramai belia dan beliawanis mengikuti Program Vaksinasi Kebangsaan.


Selain itu, Phoong juga menggesa KBSS mengajak organisasi di bawah naungan Kementerian itu untuk terlibat dalam program sukarelawan membantu kerajaan menangani Covid-19.


bottom of page