• Wartawan Nabalu News

KBSS BERI SOKONGAN TERBAIK



2 Julai 2021


KOTA KINABALU: Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) melalui Majlis Sukan Negeri Sabah (MSN Sabah) memberikan sokongan terbaik kepada tiga atlet Para Sabah yang layak beraksi di Sukan Paralimpik XVI Tokyo 2020 di Jepun bermula 25 Ogos hingga 6 September depan.

 

Menteri KBSS Datuk Ellron Angin, berkata, perancangan rapi telah dibuat dengan kerjasama erat Majlis Sukan Negara (MSN) dalam memastikan ketiga-tiga atlet itu siap sedia sepenuhnya dan memberikan cabaran terhebat di Negara Matahari Terbit itu nanti.

 

Tiga atlet Para yang dimaksudkan itu ialah Brenda Anallia Larry, 15, atlet renang yang akan bersaing dalam acara 50 meter (m) Kuak Lentang kategori S4 wanita, Jonathan Wong Kar Gee, 30, atlet olaharaga yang akan bertanding dalam acara lompat jauh kategori F12 lelaki dan Didin Taresoh, 46, pemain badminton yang akan bertarung dalam acara perseorangan kategori SS6 lelaki.

 

"Sudah tentu kita, seluruh warga sukan negeri ini amat berbangga dengan pencapaian ketiga-tiga mereka. Mereka bukan sahaja mengharumkan nama negeri Sabah yang tercinta ini, tetapi juga nama Malaysia di persada dunia.

 

"Bukan mudah untuk melahirkan atlet seperti mereka, ianya memerlukan sokongan padu dari semua pihak selain kegigihan, kesabaran, keazaman dan disiplin tinggi atlet itu sendiri," katanya.


Beliau berkata demikian selepas menyampaikan saguhati pencapaian kepada ketiga-tiga atlet itu di Stadium Likas, Kompleks Sukan Kota Kinabalu (KSKK), di sini, hari ini (Jumaat).

 

"Satu perbincangan virtual telah diadakan beberapa minggu lalu melibatkan para pegawai dari MSN, MSN Sabah, Institut Sukan Negara, Pesuruhjaya Sukan, Persatuan dan jurulatih-jurulatih ketiga-tiga atlet itu, untuk merancang secara terperinci persiapan latihan mereka.

 

"Persiapan memasuki Fasa Akhir ketika ini berjalan lancar sekalipun ianya banyak terbatas akibat kekangan pendemik Covid-19, dan selaku menteri, saya telah mengarahkan MSN Sabah untuk memantau sepenuhnya latihan dan persiapan ketiga-tiga atlet ini setiap minggu," jelas Ellron.

 

"Kita di kementerian sentiasa berdoa kejayaan mereka membawa pulang pingat untuk kontinjen negara, dan seperti yang dijanjikan, insentif kemenangan yang lumayan menanti mereka.

 

"Dari Kerajaan Malaysia, pemenang pingat emas akan menerima RM1 juta dengan pencen bulanan RM5,000, pemenang pingat perak akan menerima RM300,000 dengan pencen bulanan RM3,000 dan pemenang pingat gangsa akan menerima RM100,000 dengan pencen bulanan RM1,000.

 

"Dari Kerajaan Negeri Sabah pula, pemenang pingat emas akan menerima RM500,000, pemenang pingat perak akan menerima RM150,000 dan pemenang pingat gangsa akan menerima RM50,000," tambah beliau lagi.

 

Dalam pada itu, hadir sama semasa sesi penyampaian saguhati ialah Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah; Tuan Andi Muhammad Suryady Haji Bandy, Setiausaha Tetap KBSS; Sr. Mohd. Yusrie Abdullah, Timbalan Setiausaha Tetap KBSS; Putera Jali, Pengarah MSN Sabah; Mohd. Asneh Mohd. Noor dan Presiden Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya (PESRON) Sabah; Tan Hwa Koon.