• Wartawan Nabalu News

KDN dan AGC bersetuju mansuh jenayah kes cubaan bunuh diri


Gambar hiasan

7 Okt 2021 Oleh Wartawan Nabalu News KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) telah bersetuju untuk memansuhkan hukuman terhadap individu yang cuba membunuh diri di bawah Akta 309 Kanun Keseksaan. Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, bunuh diri sebagai satu kesalahan jenayah sudah lama dibincangkan dan setakat ini KDN dan AGC sudah bersetuju untuk memansuhkan kesalahan jenayah tersebut. "Pada peringkat sekarang ia akan dibawa ke Jemaah Menteri dan seterusnya untuk membuat pindaan supaya kesalahan bunuh diri tidak akan disabit kesalahan jenayah lagi,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid mengenai perkembangan terkini mengenai kesalahan bunuh diri di Dewan Rakyat hari ini. Mengulas lanjut pertanyaan asal Che Alias berkenaan strategi jangka panjang Kementerian Kesihatan (KKM) dalam mengatasi kes bunuh diri yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat akibat tekanan yang dihadapi ketika pandemik COVID-19, Aaron berkata, pihak KKM akan melancarkan Pelan Strategik Kebangsaan Kesihatan Mental (2020-2025) pada 10 Oktober ini sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia. "Jelas strategi-strategi ini adalah untuk mencegah isu tingkah laku bunuh diri dan memfokuskan dan memfokuskan kepada kolaborasi antara agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi mempromosi kesihatan mental kepada kumpulan sasar, meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan mental dan strategi pencegahan bunuh diri serta kesiapsiagaan kesihatan mental dalam menghadapi kecemasan, krisis dan bencana," katanya.