KDN laksana percubaan NIISe bagi urusan imigresen bermula 22 September
- nabalunews
- Sep 17, 2025
- 1 min read

17 September 2025
PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melaksanakan percubaan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor bermula 22 September ini hingga 28 Februari 2026.
KDN dalam satu kenyataan hari ini berkata, percubaan sistem itu turut dijalankan secara berperingkat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 dan Terminal 2, Bayan Lepas, Kuching serta Kota Kinabalu sepanjang tempoh berkenaan.
Menurut KDN, sepanjang tempoh percubaan NIISe berlangsung, sistem Kod QR dan aplikasi MyBorderPass sedia ada masih diteruskan untuk proses kemasukan dan perlepasan imigresen.
"Walau bagaimanapun, orang ramai termasuk pelawat asing digalakkan untuk memuat turun aplikasi MyNIISe bagi tujuan proses kemasukan dan perlepasan imigresen di laluan pintu masuk yang telah diaktifkan penggunaannya di sepanjang tempoh percubaan ini," katanya.
Dalam pada itu, kementerian itu turut mengingatkan bahawa dokumen perjalanan atau pasport yang sah masih diperlukan untuk proses kemasukan dan perlepasan imigresen mengikut ketetapan Akta Imigresen 1959/63.
“Sistem NIISe merupakan salah satu inisiatif utama bawah agenda reformasi Kerajaan Madani bawah KDN dan pelaksanaannya dipercepat kepada September 2025 daripada jadual asal iaitu Mac 2026.
“Pada akhir tempoh percubaan, sistem NIISe ini akan menggantikan sistem kod QR sedia ada dan ini ialah inisiatif reformasi Kerajaan Madani bawah KDN bagi meningkatkan dan menaik taraf kecekapan sistem semakan keselamatan automatik di pintu masuk negara,” jelas kementerian itu.
Aplikasi MyNIISe boleh dimuat turun di Apple App Store, Google Play Store dan Huawei App Gallery.















Comments