top of page

KDN mahu pembinaan radar di Pulau Malawali disegerakan

  • nabalunews
  • 1 hour ago
  • 2 min read

4 Mei 2026


PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mahu pembinaan Remote Sensor Site (RSS) atau Tapak Sensor Jarak Jauh di Pulau Malawali disegerakan untuk meningkatkan keupayaan negara mengesan ancaman di kawasan perairan, khususnya di pantai timur Sabah.


Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, radar berkenaan sangat penting dan berkeupayaan memberikan maklumat tentang keselamatan dan ancaman terhadap kawasan laut itu.


“Radar di Pulau Malawali mesti disegerakan pembinaannya, dengan cara itu kita boleh tingkat keupayaan kita mengawal kawasan keselamatan kita khusus di pantai timur Sabah.


“Ini keutamaan. Kalau kita siap ikut jadual, tak ada lagi blind spot bagi kawasan berkenaan, dan ini adalah keperluan nombor wahid (satu),” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulan KDN, di sini hari ini.


Sebelum ini, dilaporkan kerajaan telah memperuntukkan RM88 juta bagi membina RSS berkenaan yang diluluskan dalam pelan pusingan pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).


Dalam perkembangan lain, Saifuddin Nasution berkata KDN juga telah mendapat kelulusan bagi pembinaan enam pos Pasukan Gerakan Am (PGA) tambahan di kawasan sama, dan kini hanya menunggu tindakan agensi pelaksana untuk merealisasikannya di lapangan.


“Dah lulus (bajet) … tinggal agensi pelaksanaan. Pasukan Gerakan Am (PGA) tentu mengharapkan pos yang lebih memuaskan, lebih baik dan lengkap dengan kedudukan lokasi yang strategik,” katanya.


Sementara itu, beliau menegaskan sebarang projek berunsur keselamatan tidak boleh dilihat seperti projek pembangunan biasa yang hanya dinilai berdasarkan petunjuk prestasi utama (KPI) semata-mata.


“Kalau ia satu projek yang weightage keselamatan lebih besar, ia tidak boleh dilaksanakan mengikut KPI biasa. Ia mesti diberikan weightage keselamatan (secara) lebih besar.


“… kerana ia bukan satu projek pembangunan biasa dan mesti dilihat dari sudut pandang yang sedikit berbeza. Melengahkan projek yang ada sifat keselamatan akan menyebabkan kita compromise dari segi kawalan keselamatan sempadan kita,” katanya. - Bernama

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page