KDN perkukuh penguatkuasaan, tingkat kehadiran polis di sekolah
- nabalunews
- Oct 18
- 2 min read

18 Oktober 2025.
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meningkatkan rondaan dan kehadiran anggota polis di kawasan sekolah sebagai langkah menyokong dasar keselamatan digital pelajar yang diperkenalkan kerajaan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata langkah itu sebahagian tindakan bersepadu yang merangkumi aspek pendidikan, pencegahan dan penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan peranti dan media sosial dalam kalangan pelajar.
Katanya, kementerian turut memperkukuh kempen kesedaran bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta memperkasa peranan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dalam membimbing pelajar mengenai keselamatan siber.
"KDN turut menyokong pendekatan menyeluruh melibatkan mempertingkat sistem sokongan kesihatan mental yang mudah diakses dan mesra belia di sekolah serta komuniti.
“Selain itu, penguatkuasaan jelas dengan akibat yang konsisten terhadap penyalahgunaan peranti, buli siber dan eksploitasi digital," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Saifuddin berkata, pemantauan serta penyesuaian dasar berterusan juga perlu bagi memastikan langkah itu kekal relevan dengan perubahan teknologi.
KDN juga, katanya, menyokong penglibatan pelbagai pihak berkepentingan termasuk KPM, Kementerian Kesihatan (KKM), PIBG, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan platform digital.
"Pendidikan literasi digital yang mantap bagi membentuk pelajar beretika dan bertanggungjawab dalam dunia maya.
“Akauntabiliti platform dan keselamatan melalui reka bentuk (safety by design) supaya syarikat teknologi turut memainkan peranan dalam melindungi pengguna bawah umur,” ujarnya.
Beliau berkata, KDN menyokong penuh langkah tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam memperkenalkan dasar bagi mengehadkan akses kepada platform media sosial yang memaparkan kandungan keganasan, lucah serta unsur-unsur negatif dan merbahaya yang boleh membawa kemudaratan kepada kanak-kanak di bawah umur.
Sebelum ini, kerajaan bercadang untuk melarang penggunaan telefon pintar bagi individu berusia bawah 16 tahun sebagai sebahagian daripada langkah segera menangani isu keselamatan di sekolah, termasuk kes buli dan jenayah keganasan dalam kalangan pelajar.
Tegas Saifuddin, isu keselamatan digital pelajar bukan semata-mata persoalan disiplin sekolah, tetapi satu tanggungjawab nasional yang menuntut kerjasama menyeluruh antara kerajaan, institusi pendidikan, ibu bapa, komuniti dan industri teknologi.
"Langkah ini bukan untuk menyekat kebebasan, tetapi untuk melindungi masa depan generasi muda Malaysia agar mereka membesar dalam persekitaran pembelajaran yang selamat, berdisiplin dan sejahtera secara mental serta digital, seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI," katanya.


















Comments