top of page

Keamanan, kestabilan, kemakmuran dan kepentingan rakyat dan negara harus jadi keutamaan

Wartawan Nabalu News

13 Februari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyokong dasar luar negara berlandaskan kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran dengan kepentingan rakyat sebagai teras utama.


Baginda bertitah, dalam mengemudi hubungan luar negara, Malaysia perlu terus mengamalkan pendekatan pragmatik dan berprinsip.


“Semasa lawatan ke beberapa negara sebelum ini, Beta menyambut baik kesediaan pemimpin-pemimpin negara tersebut untuk meningkat dan mengukuhkan lagi hubungan kerjasama diplomatik dan perdagangan dengan Malaysia.


“Peluang seperti ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Malaysia sama sekali tidak boleh ketinggalan dalam membentuk kerjasama bagi menghadapi persaingan global,” titah baginda semasa menyampaikan titah diraja pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.


Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan supaya pentadbiran Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terakhir sebelum baginda menamatkan tugas dan kembali ke Pahang, pada 30 Januari tahun depan.


“Beta telah bersemayam di atas takhta singgahsana Kerajaan Malaysia bermula pada 31 Januari 2019. Sehingga ke hari ini, Beta telah melalui pelbagai peristiwa dan pengalaman yang sukar untuk Beta lupakan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick (dua dari kiri) bersama ahli-ahli Parlimen yang lain.

“Terpahat dalam sejarah negara bahawa Beta adalah satu-satunya Yang di-Pertuan Agong yang telah diberi keafiatan untuk memerintah negara dengan 4 orang Perdana Menteri bersama 4 Jemaah Menteri yang berlainan,” katanya.


Al-Sultan Abdullah bertitah, bermula dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri ke-7, kemudiannya Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8 pada 1 Mac 2020, selepas itu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri kesembilan pada 21 Ogos 2021 dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.


“Beta bermula dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Namun, pada 24 Februari 2020 buat pertama kalinya beta dibawa ke kancah gelanggang kemelut politik tanah air menerusi peletakan jawatan Perdana Menteri ke-7.


“Selaras dengan kuasa budi bicara yang diberikan kepada beta oleh Perlembagaan Persekutuan, beta selanjutnya mendapati Tan Sri Muhyiddin Haji Mohd Yasin mendapat kepercayaan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8, pada 1 Mac 2020.


“Disangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Perdana Menteri Malaysia ke-8 juga telah meletakkan jawatan pada 16 Ogos 2021. Makanya, Beta sekali lagi terpaksa menggalas amanah berat untuk memilih dan melantik Perdana Menteri yang baru.

“Beta selanjutnya telah berpuas hati bahawa Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob telah memperolehi kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat dan selayaknya dilantik menjadi Perdana Menteri ke-9 pada 21 Ogos 2021.


“Tidak berapa lama kemudian, Perdana Menteri ke-9 pula telah memohon perkenan Beta untuk pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 dan Beta telah memperkenankan untuk Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober 2022,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah, dalam situasi Pasca Pilihan Raya Umum ke-15, bila tiada parti politik atau gabungan dominan yang memperolehi majoriti mudah, Perlembagaan Persekutuan menuntut untuk melantik seorang Perdana Menteri dari kalangan ahli Dewan Rakyat yang memperolehi kepercayaan majoriti Dewan Rakyat.

“Bagi mencapai hasrat tersebut, beta telah membuka seluas-luasnya ruang kepada Ahli-ahli Yang Berhormat untuk bermuafakat dan mencari kesepakatan atas prinsip perpaduan demi untuk masa hadapan negara.


“Setelah mengambil pendekatan yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan, pada 24 November 2022, Beta telah berkenan untuk melantik Dato’ Seri Anwar Ibrahim, sebagai Perdana Menteri Malaysia Yang ke-10.


“Beta berharap Perdana Menteri Yang ke-10 ini adalah yang terakhir buat beta, sebelum beta berangkat pulang ke Negeri Pahang Darul Makmur,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page