MCMC hormati keputusan mahkamah, Telegram dilarang sebar kandungan dipertikai
- nabalunews
- 1 day ago
- 1 min read

11 September 2025
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang membenarkan permohonan injunksi sementara dalam kes sivil melibatkan aplikasi Telegram.
Menurut MCMC, perintah injuksi larangan sementara itu menghalang defendan termasuk pentadbir akaun Edisi Siasat, Edisi Khas serta pihak Telegram daripada menerbitkan, menyebarkan atau mengulang siar kandungan yang dipertikaikan seperti dinyatakan dalam tuntutan suruhanjaya itu.
“Keputusan ini adalah selaras dengan mandat MCMC di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk melindungi kepentingan pengguna, selain memastikan platform digital tidak disalahgunakan.
“MCMC akan terus memantau pematuhan terhadap perintah mahkamah ini, manakala isu-isu lain yang terkandung dalam tindakan undang-undang akan diputuskan pada perbicaraan penuh kelak,” menurut suruhanjaya itu dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, MCMC berkata pihaknya kekal komited memastikan ruang digital di Malaysia lebih selamat agar rakyat tidak terdedah kepada penipuan, kandungan berbahaya serta ancaman penyalahgunaan.
Terdahulu, media melaporkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengeluarkan peintah injunksi larangan bagi menghalang Telegram daripada menyebarkan kandungan berbahaya yang didakwa menjejaskan institusi awam serta mengancam ketenteraman masyarakat.
Mahkamah juga membenarkan permohonan kerajaan melalui MCMC untuk memadam 33 artikel yang dipertikaikan dalam dua akaun Telegram iaitu Edisi Siasat dan Edisi Khas.
Selain itu, mahkamah turut mengarahkan kedua-dua saluran Telegram terbabit ditutup dan dihentikan sementara sehingga kes selesai dibicarakan.
Comments