Kerajaan kuat kuasa tiga akta nyahjenayah kesalahan cubaan bunuh diri
- nabalunews
- 2 days ago
- 2 min read

11 September 2025
PUTRAJAYA: Kerajaan secara rasmi menguatkuasakan Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) (No. 2) 2023, Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No. 2) 2023 dan Akta Kesihatan Mental (Pindaan) 2023, bersempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia 2025 semalam.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU JPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi kenyataan bersama berkata, pelaksanaan akta tersebut merupakan pelengkap usaha kerajaan untuk menyahjenayah kesalahan cubaan bunuh diri.
Katanya,Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Keseksaan (Pindaan) (No. 2) 2023 memansuhkan Seksyen 309 Kanun Keseksaan [Akta 574] yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda terhadap individu yang cuba membunuh diri.
“RUU Kesihatan Mental (Pindaan) 2023 pula memperkenalkan Pegawai Intervensi Krisis (PIK) terdiri daripada pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Menerusi pindaan ini, PIK diberikan kuasa sewajarnya untuk bertindak di bawah seksyen 11 Akta Kesihatan Mental 2001 [Akta 615] apabila berlaku sesuatu cubaan untuk membunuh diri, termasuk membawa individu terbabit ke hospital psikiatri untuk pemeriksaan,” menurut kenyataan itu.
Jelasnya, KKM juga sedang dalam peringkat akhir mewartakan hampir semua hospitalnya serta dua hospital universiti sebagai hospital psikiatri kerajaan, melibatkan sebanyak 145 buah hospital yang boleh menerima rujukan PIK termasuk bagi kes di kawasan pedalaman.
Selain itu katanya, latihan khusus berkenaan pengurusan individu tersebut oleh PIK juga akan dimulakan dalam masa terdekat bagi memastikan pelaksanaan yang seragam di seluruh negara.
“Sejak ketiga-tiga RUU ini diluluskan pada 2023, BHEUU JPM bersama KKM serta semua agensi pelaksana telah menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu berhubung pelaksanaan kuasa PIK di bawah seksyen 11, Akta 615 untuk menyelaraskan usaha tindakan awal oleh PIK apabila berlakunya cubaan bunuh diri pada masa hadapan,” katanya.
Dalam masa sama, kenyataan itu menegaskan kesalahan bagi persubahatan bunuh diri masih dikekalkan.
“Kesalahan persubahatan percubaan membunuh diri diperkenalkan di bawah seksyen 306 Akta 574 dan seterusnya dibezakan berdasarkan kategori orang yang dihasut untuk melakukan tindakan-tindakan yang berkaitan di bawah seksyen 305 Akta 574.
“Fokus utama kesalahan ini adalah melibatkan golongan kanak-kanak dan golongan kurang keupayaan mental kerana golongan ini adalah terdedah kepada situasi di mana mereka mudah dipengaruhi dan dimanipulasi oleh seorang pelaku,” jelas kenyataan itu.
Dalam pada itu, kerajaan juga menyeru semua pihak berganding bahu memupuk empati, menghapuskan stigma serta memastikan akses mudah kepada rawatan bagi individu yang berdepan krisis kesihatan mental.
“Reformasi undang- undang ini akan menjadi anjakan besar dalam usaha mencegah cubaan bunuh diri di Malaysia dengan menggalakkan mereka yang terkesan daripada kesihatan mental untuk tampil mendapatkan bantuan, seterusnya menurunkan kadar kematian akibat membunuh diri,” katanya.
Comments