top of page

Keanggotaan Timor-Leste perkaya jiwa, nilai ASEAN – Anwar

  • nabalunews
  • 3 hours ago
  • 1 min read


ree

29 Oktober 2025


KUALA LUMPUR: Kehadiran Timor-Leste sebagai anggota penuh ke-11 ASEAN bakal memperkaya nilai dan jiwa rantau ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Dalam satu hantaran di Facebook selepas menghadiri majlis makan malam yang dihoskan Presiden Timor-Leste, José Manuel Ramos-Horta, pada Selasa, Anwar menzahirkan penghargaan terhadap semangat perjuangan dan persahabatan yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.


“Malaysia punyai keyakinan yang tinggi betapa kehadiran Timor-Leste ke dalam ASEAN tidak sekadar melengkapi jumlah anggota, tetapi yang utama adalah memperkaya jiwa, nurani dan nilai rantau bertuah ini,” katanya.


Dalam masa sama, beliau berkata Malaysia merupakan antara negara terawal mengiktiraf perjuangan rakyat Timor-Leste dalam menuntut kebebasan dan keadilan, sejak era kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.


Justeru, katanya, pendirian Malaysia jelas dalam mendukung serta mempercepat proses penyertaan penuh Timor-Leste ke dalam ASEAN.


Menurut beliau, keanggotaan ASEAN tidak seharusnya diukur berdasarkan kekuatan ekonomi semata-mata, sebaliknya berasaskan tekad, wawasan dan semangat kenegaraan yang tinggi.


“Malaysia sendiri dahulunya bukan negara yang kaya, sebagaimana Laos dan Kemboja sewaktu diterima ke dalam ASEAN.


“Kita juga pernah bergelut membina asas dan ketahanan ekonomi negara. Maka, tidak wajar mengukur nilai keanggotaan hanya pada aspek ekonomi,” katanya.


Bagi menyokong penyertaan penuh Timor-Leste, Anwar berkata Wisma Putra telah diarahkan untuk mengupayakan kerjasama teknikal dan menempatkan pegawai di Sekretariat ASEAN di Jakarta bagi membantu melengkapkan keperluan institusi negara itu.


Dalam pada itu, beliau turut menyorot sejarah panjang perjuangan rakyat Timor-Leste menentang penindasan dan menuntut kemerdekaan daripada penjajahan.


Timor-Leste secara rasmi menjadi anggota ke-11 ASEAN pada 27 Oktober melalui Deklarasi Kemasukan Timor-Leste yang ditandatangani Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmao, bersama pemimpin utama ASEAN termasuk Anwar sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page