Kedutaan Malaysia di Jordan pastikan tahanan GSF Malaysia dilindungi undang-undang
- nabalunews
- Oct 3
- 1 min read

3 Oktober 2025
KUALA LUMPUR: Kedutaan Besar Malaysia di Jordan telah bertemu dengan pasukan peguam Malaysia di Amman bagi memastikan tahanan Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF), mendapat perlindungan undang-undang yang adil dan telus.
Kedutaan itu berkata pihaknya sedang memantau rapat perkembangan pergerakan rakyat Malaysia dalam misi GSF, khususnya mereka yang telah ditahan oleh pihak berkuasa Israel.
"Pihak kedutaan juga turut berhubung dengan negara-negara sahabat ASEAN di Amman dan Tel Aviv bagi mendapatkan maklumat semasa berkenaan tahanan Malaysia serta menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya," menurut notis konsular kedutaan di Facebook pada Jumaat.
Kementerian Luar sebelum ini memaklumkan kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai GSF telah ditahan Israel dan akan dihantar pulang melalui negara ketiga.
Misi yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara termasuk Malaysia itu, belayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan Israel.
Untuk maklumat lanjut, rakyat Malaysia boleh merujuk kepada pegawai Kedutaan: Muhd Irfan Zulkurnain di talian +962793811135 dan Nur Najihah Md Abas di talian +962790800865, atau menerusi e-mel kepada Unit Hal Ehwal Palestin Kedutaan Besar Malaysia di Amman di amm.uhep@kln.gov.my.
Comments