Kelonggaran etika pemakaian di kaunter kerajaan dibenar untuk kes kecemasan
- nabalunews
- 54 minutes ago
- 1 min read

11 Disember 2025
KUALA LUMPUR: Kelonggaran etika pemakaian dibenarkan bagi urusan kaunter dan pejabat kerajaan dalam situasi kecemasan dan luar norma biasa untuk memastikan hak pelanggan mendapat perkhidmatan segera tidak dinafikan.
Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar, berkata urusan kecemasan dan di luar norma biasa merangkumi laporan kemalangan, kebakaran serta urusan berkaitan bencana yang boleh mengancam nyawa dan harta benda.
“Langkah ini dibuat mengambil kira keadaan perkhidmatan barisan hadapan seperti anggota keselamatan, kesihatan, dan lain-lain perkhidmatan yang berhubung terus dengan pelanggan.
“Kelonggaran diberikan bagi kes kecemasan dan luar norma biasa untuk tidak dinafikan hak pelanggan mendapatkan perkhidmatan segera sepertimana perkara 3.2 Lampiran A Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam (PKPA) 1/2025,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Mengulas lanjut, Shamsul Azri berkata bagi urusan biasa perkhidmatan kaunter dan pejabat kerajaan pula ketua jabatan boleh menggunakan budi bicara sewajarnya, menentukan etika berpakaian sopan dan bersesuaian berlandaskan garis panduan berkuat kuasa.
Menurut beliau, secara umumnya panduan kod etika berpakaian ketika berurusan di kaunter atau pejabat kerajaan digariskan dalam PKPA Bilangan 1 Tahun 2025: Pemantapan Pengurusan Perhubungan Pelanggan Sektor Awam telah berkuat kuasa pada 20 Jan lalu.
Pekeliling itu menetapkan berpakaian sopan dan bersesuaian selaras dengan Rukun Negara kelima, iaitu kesopanan dan kesusilaan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan komitmen kerajaan untuk terus memperkukuhkan aspek perhubungan pelanggan di sektor awam.
“Perkhidmatan awam akan terus menambah baik perihal perhubungan pelanggan bagi memastikan akses dan penyampaian perkhidmatan perhubungan pelanggan yang mesra, cekap dan responsif selaras dengan prinsip Ihsan dalam nilai Madani,” katanya.














