top of page

Kemelut Lantikan Menteri Besar Perlis Berakhir, Abu Bakar Menteri Besar Kesembilan

  • nabalunews
  • 5m
  • 2 min read

Gambar dari BERNAMA
Gambar dari BERNAMA

28 Disember 2025


ARAU: Ketidaktentuan politik yang melanda Perlis sejak beberapa hari lepas reda dengan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis Abu Bakar Hamzah sebagai menteri besar baharu.


Abu Bakar, 57, mengangkat sumpah jawatan pada Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perlis di Bilik Hijau, Istana Arau di hadapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada 4.04 petang tadi.


Pelantikan Abu Bakar sekali gus menamatkan pelbagai spekulasi mengenai calon menteri besar negeri itu susulan peletakan jawatan ADUN Sanglang Mohd Shukri Ramli pada 25 Dis lepas kerana masalah kesihatan.


Sebelum ini, Abu Bakar yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Perlis, dilantik sebagai Exco Pelancongan, Seni dan Budaya serta Pembangunan Luar Bandar selepas rombakan pada November tahun lepas


Dalam rombakan itu, Abu Bakar antara tiga ADUN yang dilantik sebagai Exco baharu, menggantikan dua Exco sedia ada yang digugurkan.


Pada majlis istiadat itu, Tuanku Syed Sirajuddin menitahkan segala spekulasi mahupun tohmahan serta tuduhan dan perkara tidak diingini dihentikan selepas pelantikan menteri besar baharu itu.


Baginda turut bertitah keputusan pelantikan Abu Bakar diambil selepas difikirkan secara mendalam selain mengambil kira pandangan wakil rakyat di Perlis dan semua wakil rakyat diharap dapat menerima keputusan tersebut demi kebaikan rakyat serta pembangunan Perlis pada masa akan datang.


Pada masa sama, Tuanku Syed Sirajuddin menitahkan ADUN PN di Perlis kembali bersatu dengan bekerjasama sebagai satu parti demi kepentingan negeri itu dan rakyat.


Abu Bakar yang ditemui pemberita selepas istiadat itu bertekad untuk mengekalkan persefahaman dalam kalangan barisan ADUN


PN di Perlis selain menamatkan apa jua perbalahan yang berlaku dalam tempoh terdekat.


Beliau juga menyambut baik titah Raja Perlis yang mahu semua ADUN PN di negeri itu kembali bersatu serta bekerjasama sebagai satu parti demi kepentingan negeri dan rakyat selain berazam untuk meneruskan dasar serta hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan.


Pada Pilihan Raya Umun Ke-15 (PRU15) lepas, PN memenangi 14 kerusi DUN yang terdiri daripada sembilan ADUN PAS dan lima ADUN Bersatu manakala Pakatan Harapan (PH) dari PKR satu kerusi bagi DUN Indera Kayang.


Namun kini ADUN Pas hanya tinggal enam orang selepas ADUN Chuping Saad Seman, ADUN Bintong Fakhrul Anwar Ismail dan ADUN Guar Sanji Mohd Ridzuan Hashim tergugur jawatan sebagai wakil rakyat bagi kawasan itu selepas keahlian tiga ADUN PAS itu terhenti kerana menarik sokongan terhadap Mohd Shukri


Pada 24 Dis lepas, dalam kenyataan media Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang memaklumkan keahlian ketiga-tiga ADUN itu terhenti serta-merta berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025).- BERNAMA

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page